Salawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah saw, ahlul bait dan para sahabat. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Ta’ala kerana telah menghimpunkan kita semua pada hari ini dan memberi kesihatan serta semangat untuk memulakan aktiviti kita bermula dari awal pagi ini. Kita baru sahaja melepasi cabaran getir iaitu pertandingan KAMIL beberapa hari lalu. Setelah bertungkus-lumus membuat latihan selama beberapa minggu, Alhamdulillah kita telah berjaya melaluinya. Alhamdulillah, pada tahun ini kita telah berjaya berjaya mendapat satu pingat berbanding dengan penyertaan sulung kita tahun lepas dimana kita tidak membawa pulang apa-apa pingat. Sebagai sekolah kecil berbanding dengan sekolah-sekolah lain, sebutir pingat yang kita menangi walaupun tempat ketiga adalah sangat bermakna. Sekurang-kurangnya, pingat ini menjadi pembakar semangat kepada kita untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang. Kejayaan adik Fakhrul dalam acara azan dan iqamah adalah sesuatu yang membanggakan pihak madrasah. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lain yang turut menyertai pertandingan. Walaupun tidak memenangi apa-apa hadiah namun pelajar-pelajar ini telah membanggakan pihak sekolah. Bertanding dengan sekolah-sekolah lain yang jauh lebih hebat dan mempunyai pengalaman yang luas adalah satu pengalaman yang sangat berguna. Mereka dapat melihat bagaimana pelajar-pelajar dari sekolah lain membuat persembahan. Rata-rata pelajar yang bertanding berusaha memberikan persembahan yang terbaik dan menarik. Dalam pertandingan ini, pelajar dan guru mendapat ‘hadiah’ yang paling berguna. Hadiah yang dimaksudkan ialah komitmen. Kejayaan tidak datang menggolek dalam masa yang singkat. Kejayaan tidak datang dengan usaha sambil lewa. Kejayaan tidak datang tanpa semangat berpasukan yang mantap. Kejayaan tidak datang tanpa keyakinan yang jitu. Kejayaan memerlukan komitmen, kerjasama, keyakinan, tumpuan dan paling penting ialah pengorbanan. Dalam pertandingan yang lepas, kita dapat lihat bagaimana sekolah yang mencipta kejuaraan memperlihatkan keseungguhan yang luarbiasa. Mereka membuat persediaan yang rapi, peralatan yang lengkap, persembahan yang menarik dan paling penting mendapat sokongan dari guru-guru mereka. Sekolah-sekolah yang berjaya dalam pertandingan tersebut tidak mencipta kejayaan dalam masa setahun atau dua tahun tetapi dalam tempoh yang panjang. Dengan gaya persembahan yang sebegitu mantap, mana mungkin mereka berlatih dalam tempoh yang singkat. Dalam hal ini bimbingan guru juga sangat penting. Guru perlu memberi tunjuk ajar yang sewajarnya agar pelajar dapat menghayati dan memahami apa yang perlu dilakukan. Itulah tanggungjawab sebagai seorang guru. Bagi saya, inilah hadiah yang sebenar. Hadiah yang berupa contoh teladan dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan dimasa akan datang. Dalam pelajaran juga begitu. Untuk berjaya dalam pelajaran, pelajar perlu berusaha bersungguh-sungguh. Seperti yang saya nyatakan tadi, kejayaan tidak dibina dalam masa sehari tetapi dalam tempoh yang panjang. Sebagaimana kita berusaha bersungguh dalam pertandingan maka begitulah juga kita perlu mengambil semangat yang sama untuk berjaya dalam pelajaran. Akhir kata, saya mengucapkan syabas kepada para pelajar dan guru yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang sangat bermakna ini. Mudah-mudahan kita akan dapat mencipta kejayaan yang lebih gemilang di masa akan datang.
Salam hormat
Pengetua MAPTAM
No comments:
Post a Comment