Sunday, April 26, 2009

KAMIL Peringkat Daerah 2009

Untuk peringkat daerah Sepang, Sek Rendah Agama Dato Ahmad Razali, Dengkil menjadi tuan rumah. Seramai 8 orang pelajar MAPTAM menyertai peringkat daerah. Empat orang dalam acara khat. Dua orang dalam acara hafazan dan dua orang lagi dalam acara tilawah. Kami memang tidak menaruh harapan yang tinggi untuk memenangi acara yang disertai. Ini memandangkan persiapan kami yang sangat sederhana. Walaubagaimanapun, pertandingan seumpama ini besar ertinya kepada kami kerana ia banyak memberikan pengalaman yang sangat berharga khususnya dari segi ilmu yang diperolehi. Lihatlah bagaimana pelajar apabila mereka menyertai khat, mereka kemudiannya mengenali jenis-jenis tulisan khat dan mempelajarinya. Begitu juga dengan tilawah dimana mereka didedahkan dengan ilmu taranum dan tajwid. Sesungguhnya pertandingan sebegini sangat bermanfaat kepada generasi yang bakal menjadi pemimpin kemudian hari. Bukanlah hadiah yang menjadi matlamat utama tetapi ilmulah yang sebenarnya dicari itu. Insyallah jika diizinkan Tuhan, tahun depan MAPTAM akan menyertai lagi pertandingan ini.
KAMIL peringkat daerah telah diadakan pada 25 April 2009. Dari MAPTAM, kami bertolak dengan dua kereta. Pelajar lelaki menaiki kereta dengan saya manakala pelajar perempuan menaiki kereta dengan isteri saya. Seorang guru pengiring iaitu Ustazah Anis yang telah melatih pelajar-pelajar ini turut menyertai kami. Kami bertolak pada pukul 7.30 pagi dan sampai di lokasi pertandingan pada pukul 8.10 pagi. Perjalanan tidaklah terlalu jauh kerana kami hanya perlu mengikuti lebuhraya Puchong -Putrajaya dan mengambil susur keluar ke Kampung Dato' Ahmad Razali.

Pelajar lelaki sudah tidak sabar-sabar untuk memasuki perkarangan sekolah. Kami semua sebenarnya terhibur dengan telatah Aiman, pelajar termuda dari MAPTAM yang menyertai peringkat daerah ini. Ada sahaja gaya dan ceritanya ketika bersama kami. Beliau baru berusia 8 tahun.

Pelajar perempuan sedang tekun mendengar kata-kata nasihat dari Ustazah Anis, guru yang membimbing mereka

Guru-guru memenuhi ruang meja pendaftaran

Pelajar, guru dan ibubapa membeli juadah dan melihat barang-barang yang dijual di gerai jualan

Kereta hadirin yang berbaris diatas padang. Saya kira pemilihan sekolah ini sebagai tuan rumah daerah sangat baik berdasarkan kepada kemudahan yang ada di sekitarnya. Sebagai contoh, tempat meletak kereta yang luas, masjid yang dekat dengan sekolah dan dewan serta balai raya yang berhampiran dengan kawasan sekolah membolehkan beberapa acara diadakan disana. Jadi, kesesakan di sekolah dapat dikurangkan kerana tumpuan hadirin dapat dialihkan ke tempat-tempat yang disebutkan tadi.

Zul (berbaju hijau) menyertai acara khat tahap dua

Aiman (berbaju hijau) menyertai acara khat tahap satu

Aisyah menyertai acara hafazan tahap dua

Afif menyertai acara tilawah tahap dua

Hafiz (berkaca mata) menyertai acara hafazan tahap dua

Fatin(berbaju hijau) menyertai acara tilawah tahap dua


Nadhirah (dihujung sekali) menyertai acara khat tahap satu

Liyana (berbaju hijau, berpaling kerana sibuk dengan acara yang disertainya) menyertai acara khat tahap dua


Sekolah Rendah Agama Dato' Ahmad Razali, Dengkil. Ini pertama kali saya menjejakkan kaki disekolah ini.

Para pelajar sedang menanti keputusan pertandingan diumumkan

Cuaca agak panas pada hari itu. Pelajar-pelajar tak berhenti-henti minum air bagi menghilangkan dahaga

Semua sekolah yang terlibat duduk didalam dewan menanti acara penutup dan keputusan pertandingan

Tetamu kehormat yang hadir untuk program KAMIL peringkat Daerah Sepang

Juruacara majlis untuk acara penutup dan keputusan pertandingan


Majlis selesai lebih kurang jam 2.00 petang. Kami pulang ke MAPTAM dan sampai setengah jam kemudian. Sesungguhnya pengalaman menyertai pertandingan KAMIL peringkat zon dan daerah adalah suatu pengalaman yang sangat berharga bagi kami kerana pertandingan seperti ini tidak sekadar mencungkil bakat pelajar tetapi juga mendedahkan pelajar dengan ilmu-ilmu yang boleh dimanfaatkan dalam amalan kehidupan.

Wednesday, April 22, 2009

Bangunan dan Pelajar MAPTAM sesi 2009

Alamat MAPTAM ialah No. 1 Jalan PP 8/1 Taman Putra Perdana. Pendaftaran untuk kemasukan MAPTAM dibuka sepanjang tahun. MAPTAM menawarkan program pengajian KAFA dari Tahun 1 hingga 6 dan Tadika Islam. MAPTAM juga menawarkan program Iqra' dan program hujung minggu seperti Tajwid, Jawi, Fardhu 'Ain dan sebagainya. Pada bulan Februari dan Mac yang lepas, MAPTAM turut menawarkan program tusiyen dan kelas matematik intensif. Untuk maklumat lanjut tentang MAPTAM, bolehlah hubungi 03-8318 2402.

Pada masa ini MAPTAM menyewa sebuah rumah untuk dijadikan sekolah. Adalah menjadi harapan MAPTAM untuk memiliki bangunan sendiri dan seterusnya kompleks sekolah kerana menjadi hasrat MAPTAM untuk menawarkan program pengajian yang tidak hanya untuk tahap rendah sahaja tetapi juga menengah. Kompleks yang dimaksudkan turut mempunyai fasiliti yang lengkap dengan perpustakaan dan makmal komputer. Sehubungan dengan itu, MAPTAM mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk wakaf atau apa sahaja bantuan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan ini. Sumbangan yang diterima akan diwakafkan untuk MAPTAM dan kegunaan perjalanan aktiviti MAPTAM




Bahagian depan bangunan sekolah Gambar bangunan dari perkarangan luar sekolah

Papan tanda sekolah

Banner sesi pendaftaran 2009


Pelajar-pelajar menunaikan solat berjemaah setiap hari selepas habis kelas (untuk pelajar sesi petang)

Pelajar lelaki dan perempuan dilatih/diasuh agar sentiasa mengutamakan solat berjemaah



Gelagat pelajar-pelajar tadika yang berusia dari 4 hingga 6 tahun



Matapelajaran untuk pelajar tadika merangkumi matapelajaran pengajian Islam dan juga ilmu-ilmu alat seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Pengenalan Madrasah Pra-Tahfiz al-Mansoorah

Madrasah Pra-Tahfiz al-Mansoorah Putra Perdana (selepas ini disebut MAPTAM) telah ditubuhkan pada tahun 2004 Pada peringkat awal, penubuhan MAPTAM bernaung dibawah nama Persatuan Penduduk Taman Putra Perdana dan memakai nama sekolah agama rakyat yakni KAFA Integrasi al-Mansoorah manakala untuk Tadika Islam, nama yang digunakan ialah Tadika Islam Pra-Tahfiz al-Mansoorah. Namun tidak lama selepas itu, pentadbiran dan pengurusan telah ditukar taraf menjadi milik persendirian memandangkan pembiaya modal untuk pengurusan dan pentadbiran dilaksanakan oleh pemilik tunggal. Semenjak dari awal penubuhannya, kurikulum pembelajaran MAPTAM adalah berpandukan kepada sistem sukatan pelajaran yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). Pada tahun 2009, sejarah terukir lagi apabila berlaku perubahan dari segi carta pentadbiran dan pengurusan apabila pemilikan bertukar tangan. Kini MAPTAM ditadbir oleh seorang pengetua dan seorang pengerusi sebagai penasihat MAPTAM dibantu dengan lima orang tenaga pengajar.
MATLAMAT MAPTAM
Menerapkan elemen-elemen asas yang mesti ada dalam sistem pendidikan Islam kedalam diri pelajar iaitu;
1. Konsep agama (din)
2. Konsep manusia (insan)
3. Konsep ilmu ('ilm dan ma'rifah)
4. Konsep bijaksana (hikmah)
5. Konsep keadilan ('adl)
6. Konsep perbuatan yang benar dan betul ('amal sebagai adab)
7. Konsep universiti (kuliyyah-jami'ah)
OBJEKTIF MAPTAM
1. Melahirkan pelajar yang benar-benar bertaqwa kepada Allah swt dan faham akan tugasnya sebagai khalifah dimuka bumi dan hamba kepada pencipta-Nya
2. Melahirkan pelajar-pelajar yang beradab dan menggunakan akalnya dengan penuh hikmah
3. Melahirkan pelajar-pelajar yang berketrampilan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi diri dengan cara mencari ilmu yang benar dan memanfaatkannya untuk tujuan yang benar
VISI MAPTAM
1. Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan Islam di kawasan Puchong dalam tempoh tiga tahun dari sekarang
2. Menjadi sekolah integrasi Islam yang menawarkan pengajian harian sekolah biasa dan sekolah KAFA secara bersepadu menjelang tahun 2011
3. Menawarkan pengajian pendidikan Islam untuk peringkat menengah sebagai kesinambungan peringkat sekolah rendah menjelang tahun 2012.
MAPTAM memandang berat tentang kepentingan pendidikan Islam dan berusaha untuk memastikan sistem pendidikan Islam ini tidak hanya tertumpu kepada peringkat rendah tetapi juga berterusan hingga keperingkat menengah. MAPTAM berpendapat bahawa salah satu sebab mengapa gejala keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku dikalangan pelajar remaja yang rata-rata terdiri dari pelajar sekolah menengah adalah kerana terputus atau kurangnya perhatian terhadap kurikulum pendidikan Islam peringkat menengah yang bersifat menyeluruh. Mudah-mudahan visi MAPTAM ini diberkati Allah swt dan mendapat sokongan padu dari masyarakat setempat khususnya. Insyallah