Monday, August 24, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Bercuti

Salam sejahtera,
Ramadhan datang lagi. Kebetulan cuti sekolah jatuh serentak dengan awal Ramadhan. Sehubungan dengan itu, pihak MAPTAM mengucapkan selemat mengerjakan ibadah puasa dan selamat bercuti. Dalam tempoh bercuti ini, hiasilah diri dengan mengerjakan amal ibadah dan meningkatkan ketaatan kepada Allah Taala. Gunalah masa cuti ini dengan mengaji al-Quran, mengerjakan solat sunat tarawih disebelah malamnya dan membantu keluarga khususnya ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa. Jangan lupa untuk bangun bersahur kerana ia adalah sunnah dan bangun sahur itu mempunyai keberkatan yang sangat besar. Sempena bulan yang mulia ini, bersama-samalah kita melipatgandakan amal ibadah dan ketakwaan kepada Allah Taala.

Salam hormat

MAPTAM

Tuesday, August 18, 2009

Kisah 6 - Ummu Fadhl menghukum Abu Lahab

NAMA sebenar beliau ialah Lulabah binti al-Harits dan mendapat gelaran Lulabah al-Kubra. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Fadhl yang membawa makna ibu Fadhl.

Ummu Fadhl memeluk agama Islam sebelum hijrah. Beliau merupakan wanita pertama selepas Khadijah bin Khuwailid memeluk agama Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Abdullah, anak yang berbunyi: "Saya dan ibu saya adalah termasuk orang yang tertindas dari wanita dan kanak-kanak". Suami beliau ialah Abbas bin Abu Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad.

Abbas tidak mengisytiharkan keislamannya sehingga pada tahun pembebasan Kota Mekah. Abu Rafi, hamba nabi Muhammad menyatakan: "Saya pernah menjadi pelayan bagi Abbas bin Abu Mutalib. Ketika Islam datang maka Abbas memeluk agama Islam lalu diikuti oleh Ummu Fadhl dan saya juga memeluk agama Islam. Hanya Abbas merahsiakan keislamannya".

Ummu Fadhl telah melahirkan enam orang anak lelaki yang bijaksana dan mulia. Mereka adalah Fadhl, Abdullah, Ubaidullah, Mabad, Qatsam dan Abdul Rahman.

Abdullah merupakan seorang imam ilmu tafsir tersohor sehingga mendapat gelaran lautan kerana memiliki ilmu yang sangat luas dan kemuliaannya.

Kebijaksanaan Abdullah merupakan salah satu anugerah dari Allah kepada Ummu Fadhl. Kenikmatan Allah atas hambanya sangat luas dan paling sempurna adalah kebijaksanaan anak.

Ummu Fadhl dan Ummu Aiman telah diberi penghormatan untuk memandikan jenazah Khadijah oleh nabi. Ketika nabi berhijrah ke Madinah, Ummu Fadhl dan suaminya menetap di kota Mekah tetapi mengikuti perkembangan nabi di kota Madinah.

Ummu Fadhl telah mendapat kemuliaan untuk memukul dan membunuh Abu Lahab (musuh orang Islam) selepas Perang Badar.

Abu Lahab tidak dapat berjuang dalam Perang Badar dan mewakilkan dirinya kepada Ash bin Hisham. Ini adalah adat orang Quraisy yang akan mewakilkan kepada orang lain jika mereka tak dapat menyertai sesuatu peperangan. Abu Lahab menunggu dengan penuh debaran.

Ummu Fadhl duduk memerhatikan hambanya, Abu Rafi sedang memahat sesuatu pada batuan di sekitar telaga zamzam. Mereka berdua berasa gembira mendengar kemenangan pihak Islam ke atas pihak kafir Quraisy Mekah.

Abu Lahab yang mendapat berita kekalahan pihak kafir Quraisy berlari ke arah Abu Suffian bin Harith yang baru pulang dari Perang Badar.

"Abu Suffian sudah pulang dari Badar. Mari kita tanya apa yang telah berlaku di Badar?," kata orang-orang Mekah yang mula mengerumuninya.

"Wahai sepupu, ceritakanlah kepada kami peperangan Badar yang telah kau sertai," kata Abu Lahab kepada Abu Suffian.

"Ketika pasukan kita hendak bertempur dengan pihak Muhammad, tiba-tiba mereka menyerang tanpa henti ke arah pasukan kita. Mereka bertempur sesuka hati dan menawan kami sesuka hati.

"Kemudian saya menghimpun semula pasukan untuk menyerang mereka, tiba-tiba kami melihat ada sekelompok lelaki yang berkuda hitam putih berada di tengah-tengah manusia. Mereka tidak menginjakkan kaki ke tanah," cerita Abu Suffian dengan bersungguh-sungguh.

"Itu adalah malaikat", sampuk Abu Rafi sambil mengangkat batu dengan tangannya.

"Apa kata kamu?," Abu Lahab mengepalkan tangannya lalu memukul Abu Rafi dengan kuat.

Abu Lahab tidak suka Abu Rafi menyampuk cerita Abu Suffian itu. Dia memandang hina pada Abu Rafi yang hanya merupakan seorang hamba. Hatinya yang marah sudah tidak terkawal sehingga Abu Lahab menarik tubuh Abu Rafi lalu memukulnya berulang kali di atas tanah.

Ummu Fadhl yang tengah duduk terkejut melihat sikap Abu Lahab yang sudah melampaui batas. Beliau mendekati salah sebuah tiang khemah tempat Abu Suffian tengah duduk lalu mengambil dengan tangannya. Ummu Fadhl memukul Abu Lahab dengan pukulan keras tepat pada kepada Abu Lahab sehingga luka.

"Aduh sakitnya! Berhenti pukul saya," Abu Lahab menjerit kesakitan sambil memegang bahagian kepalanya yang mula berdarah.

"Berani kamu menyeksa hamba saya ketika tuannya tiada!," tengking Ummu Fadhl lalu meminta Abu Rafi bangun dan beredar dari kawasan itu.

Abu Lahab bangun lalu berdiri dan memalingkan muka dari Ummu Fadhl dengan perasaan malu. Nyawa Abu Lahab tidak panjang selepas kejadian itu. Allah telah menimpakan penyakit bisul kepada Abu Lahab yang menyebabkan kematiannya.

Keberanian Ummu Fadhl terhadap musuh Allah seperti Abu Lahab sehingga jatuhnya kehormatan diri dan kesombongannya harus menjadi teladan kepada peribadi wanita Islam.

Ummu Fadhl selalu dimuliakan oleh nabi dan mempunyai kedudukan tinggi di kalangan wanita Islam pada zaman itu kerana memiliki sifat peribadi dan akhlak yang baik.

Ummu Fadhl adalah wanita yang beriman, bertakwa, rajin berpuasa dan ikhlas hatinya.

Pada suatu hari Ummu Fadhl menceritakan mimpinya kepada nabi yang sering mengunjungi dan tidur siang di rumahnya. Nabi mendengar kata-kata Ummu Fadhl tentang mimpinya sebelum memberitahu apa maknanya.

"Ya Rasulullah saya bermimpi seperti salah satu daripada anggota tubuh kamu berada di rumah saya".

"Bagus mimpi kamu. Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki nanti. Anak itu akan kamu susukan bersama dengan anak kamu, Qatsam," kata nabi tentang mimpi Ummu Fadhl.

Ummu Fadhl berasa gembira dengan apa yang dikatakan oleh nabi dan menceritakan kepada keluarganya tentang perkara itu. Tidak berapa kemudian, Fatimah melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Hasan yang kemudian diasuh oleh Ummu Fadhl.

Dia meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.

Dipetik dari Ruang Bicara Agama, Utusan Malaysia, 18 Ogos 2009. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Ibadat Puasa


Pengertian puasa
Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.
Dalil Wajib puasa
Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan bersandarkan dalil seperti berikut:
Al-Quran:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.
Hadis:
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda; Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan dengan adanya dalil daripada Al-Quran dan hadis yang jelas tentang wajibnya puasa, maka orang yang mengingkari kewajipan berpuasa adalah dihukum sebagai murtad(keluar daripada Islam)
Lafaz Niat
Lafaz niat puasa bulan Ramadhan:
Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya (sebulan):
Maksudnya: Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala.
Syarat wajib puasa
Syarat –syarat wajib berpuasa empat perkara iaitu:
1. Islam :
Tidak diwajibkan kepada orang kafir.
2. Baligh:
Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa
3. Berakal :
Tidak diwajibkan puasa bagi orang gila.
4. Berkemampuan:
Tidak wajib berpuasa ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.
Syarat-syarat sah puasa
Syarat-syarat sah puasa itu enam perkara:
1. Islam:
Orang Islam yang sedang berpuasa kemudian ia murtad walaupun sekejap, maka puasanya batal
2. Berakal:
Orang Gila tidak sah puasanya
3. Suci daripada nifas dan haid
4. Masuk waktu puasa
5. Berniat pada setiap malam:
Menurut mazhab Imam Malik-memadai dengan sekali niat sahaja iaitu pada malam pertama bulan Ramadhan.
6. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.
Rukun Puasa
1. Orang yang berpuasa
2. Niat
3. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.
Hikmah Puasa
Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:
1. Menandakan kesyukuran kepada Allah
2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah(terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya.
3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain
4. Meningkatkan kesihatan diri.
5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka(hari raya) dan ketika berjumpa dengan tuhannya pada hari kiamat.
6. Menjauhkan dari sifat-sifat Mazmumah(keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.
Kelebihan Ramadhan
Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan antaranya;
1. Bulan diturunkan Al-Quran
Maksudnya: Bulan Ramadhan padanya diturunkan al-Quran yang mempunyai keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia
2. Bulan penuh berkat
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan mulanya rahmat, ditengahnya pengampunanNya dan akhirnya merdeka daripada api neraka.
"Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu syurga, dihapuslah pintu-pintu neraka dan di ikatlah semua syaitan.
3. Bulan Penghapusan dosa
Maksudnya: Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. .
4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apa dia Lailatul Qadar itu. Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka untuk mengutus segala urusan. Sejahteralah(malam) sehingga terbit fajar.
Dipetik dari Koleksi Artikel Istinbat, Jabatan Mufti Negeri Selangor. Boleh dicapai disini, http://www.muftiselangor.gov.my/E-Book/KoleksiArtikelIstinbat/IbadatPuasa.htm

Menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan kehadirannya oleh umat Islam. Ramadhan dikenal sebagai bulan barakah yang penuh keberkatan, bulan maghfirah bulan keampunan dan bulan ibadah kerana di dalamnya berbagai ibadah serentak dilakukan, iaitu ibadah solat, zakat dan puasa dan pahalanya pula di lipat gandakan. Rasulullah saw berkhutbah memberi motivasi kepada para sahabat dan umat Islam untuk menyambut kedatangan Ramadhan agar membuat persiapan yang rapi, dan mengisinya dengan amal ibadah dengan penuh kesungguhan dan harapan. Sebagaimana dalam sebahagian Khutbah Rasulullah saw menjelang Ramadhan,
Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kamu sekalian bulan Allah dengan membawa berkah, rahmat dan maghfirah (keampunan). Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. saat demi saatnya adalah saat-saat paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu dimakbulkan. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari Kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, eratkanlah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihanilah anak-anak yatim, niscaya kamu akan dikasihi manusia. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu karena itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih; Dia menjawab kepada hanba Nya ketika mereka menyeru-Nya, Dia menyambut hamba Nya, ketika mereka memanggil-Nya, dan Dia mengabulkan permintaan hamba Nya, ketika mereka berdoa kepada-Nya.
Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat kerana beban (dosa)mu, maka ringankanlah dengan memperpanjangkan sujudmu. Iaitu memperbanyakan solat sunat (diantaranya ialah solat sunat Tarawih).
Ketahuilah! Allah Ta'ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbul 'Alamin. (iaitu di hari kiamat nanti).
Wahai manusia! Barangsiapa di antaramu memberi makanan untuk berbuka puasa kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ramadhan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba sahaya, dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu.
Sahabat-sahabat bertanya, " Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian." Rasulullah saw menjawab, Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya bersedekah dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya bersedekah dengan seteguk air. Wahai manusia! Barang siapa yang mempercantikkan akhlaknya di bulan ini ia akan berhasil melewati jambatan sirathal mustaqin, yang pada hari ketika itu, banyak kaki-kaki tergelincir. Barangsiapa yang meringankan pekerjaan pegawai atau pembantunya atau hambanya di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. Barangsiapa menahan keburukannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-nya. Barangsiapa menyambungkan tali persudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini (seperti solat sunat tarawih), Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa memperbanyak salawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa pada bulan ini membaca satu ayat Al-Qur’an, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Qur'an pada bulan-bulan yang lain. Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu. Ali bin Abi Thalib r.a. berdiri dan berkata,"Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama di bulan Ramadhan ini? " Jawab Baginda saw, “Ya abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah."

Sunday, August 9, 2009

Seminar PSRA 2009

Semalam (Ahad) telah dianjurkan satu seminar PSRA peringkat Daerah Sepang di SRA Dato' Ahmad Razali Dengkil. PSRA ini merupakan satu peperiksaan besar untuk pelajar-pelajar tahun 6 yang mengikuti persekolahan KAFA. Dari MAPTAM, seramai 6 orang pelajar Tahun 6 menghadiri seminar ini. Seramai 8 orang pelajar menduduki peperiksaan PSRA pada tahun ini tetapi dua pelajar tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Kesemua 6 orang pelajar MAPTAM yang hadir semalam menaiki kenderaan saya. Mereka berkumpul di perkarangan MAPTAM. Saya memuji semangat pelajar yang hadir ke seminar ini kerana ada yang datang ke MAPTAM seawal jam 6.50 pagi sedangkan pemberitahuan yang dimaklumkan sebelum ini meminta pelajar berkumpul pada 7.30 pagi. Lebih kurang pukul 7.35 pagi, kami bertolak dari MAPTAM dan sampai di destinasi lebih kurang pukul 8.00 pagi. Pada masa itu, banyak wakil dari sekolah lain belum sampai. Sekitar jam 8.20 hingga 8.30 pagi, barulah sekolah dipenuhi pelajar. Menurut urusetia seminar, kalau tak silap saya seramai 160 pelajar menghadiri seminar ini. Bahan-bahan seminar disampaikan oleh guru-guru KAFA yang sangat berpengalaman. Sesungguhnya seminar ini bagi saya sangat memberi manfaat kepada pelajar kerana bahan-bahan yang disediakan dan cara penyampaian speaker pada hari itu sangat berkesan dan berguna untuk para pelajar. Dalam seminar itu, para pelajar diajar cara-cara hendak menjawab soalan, tips-tips persediaan mengulangkaji, jenis-jenis dan pembahagian soalan, analisis soalan mengikut kekerapannya keluar setiap tahun dan sebagainya. Pendek kata, jadual seminar sangat padat dengan bahan-bahan ilmiah sepanjang ia bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Seminar ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada guru kerana pada masa inilah mereka sepatutnya mengambil kesempatan untuk berbincang dengan guru-guru yang berpengalaman luas dalam peperiksaan besar seperti PSRA. Bahan-bahan yang disediakan oleh seminar ini juga boleh dimanfaatkan oleh guru untuk persediaan pelajar bagi menghadapi peperiksaan. Guru-guru boleh menyediakan soalan mirip kepada soalan yang bakal keluar disamping menyediakan teknik-teknik khusus bagi memudahkan pelajar mengingati bahagian-bahagian penting atau memahami sesuatu topik. Kesimpulannya, seminar sebegini sangat penting kepada pelajar dan guru dan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur/urusetia kerana telah bertungkus-lumus menganjurkan seminar yang sangat bermanfaat ini. Kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan percubaan hari ini, pihak pentadbiran MAPTAM mengucapkan selamat berjaya!





Perjalanan ke SRA Dato Ahmad Razali. Sekolah ini terletak tidak jauh dari Putrajaya (berdekatan dengan Taman Selatan). Dari MAPTAM, kami mengambil jalan susur lebuhraya, Putrajaya-Cyberjaya dan mengambil jalan keluar ke Dengkil dan Taman Selatan.




Pintu gerbang Kg Dato Ahmad Razali menandakan kami telah sampai di kampung tersebut.


SRA Dato' Ahmad Razali terletak tidak jauh dari pintu gerbang tadi. Laluannya lurus sahaja dari pintu gerbang tadi hinggalah ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 500 meter sahaja.


Saya meletakkan kereta berhampiran dengan kantin sekolah. Ini adalah laluan dari kantin ke dewan seminar. Sekolah ini mengandungi satu blok pentadbiran dan kelas. Kalau tak silap saya, setiap darjah mempunyai dua kelas iaitu kelas Ghazali dan kelas Shafie yang mengambil nama sempena tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam.



Para pelajar sedang mengikuti seminar dengan khusyuk. Pada pandangan saya, para speaker yang menyampaikan persembahan sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing dan beruntunglah para pelajar yang hadir ke seminar pada hari ini kerana berpeluang menimba ilmu dari guru-guru yang berpengalaman luas itu.


Tuesday, August 4, 2009

Doa berlindung dengan Allah swt dari godaan Dajjal seperti yang diajar oleh Rasulullah saw

* Doa ini dibaca dalam doa tahiyyat akhir dan sunat doa ini dibaca setiap kali kita menunaikan solat.





Kisah 5 - Umar Abdul Aziz - Khalifah Adil, Zuhud dan Warak

Khalifah Umar bin Abdul Aziz menghafaz al-Quran sejak usianya masih kecil lagi. Beliau merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir. Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik yang juga merupakan sepupunya. Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya, sahabat besar Nabi Muhammad saw iaitu Saidina Umar b Al-Khattab. Khalifah Umar bin Abdul Aziz amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan. Beliau dilantik menjadi Khalifah setelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat sepupunya tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan kesejahteraan, keadilan dan kesatuan umat Islam. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan. Beliau amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah Umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjemaah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Beliau turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW. Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendekiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya mudah dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam bagi menarik lebih ramai orang bukan Islam memeluk Islam. Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. Tempoh tersebut sebenarnya terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah menjadi semakin kuat, tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat.Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini.Dalam tempoh 852 hari, tokoh besar ini dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluhuran budi, keperibadiannya yang mulia, kewarakan dan karamahnya. Di antaranya ialah:
1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata: "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata: "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata: "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi: "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya"
4) Qais bin Jabir berkata: "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
5) Hassan al-Qishab telah berkata:"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
6) Umar b Asid telah berkata:"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai:"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
7) 'Atha' telah berkata: "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."
Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
Tahun Lahir : 61H
Umur : 39 tahun
Tarikh Wafat : 101H
Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : 2 tahun 5 bulan

Monday, August 3, 2009

Kisah 4 - Imam Asy-Shafi'i dan perkara maksiat yang menghalang penerimaan ilmu

Ilmu adalah cahaya yang dilontarkan oleh Allah di dalam hati manusia, sementara maksiat akan memadamkan cahaya tersebut. Pada suatu masa ketika Imam As-Syafi'i duduk serta membaca di hadapan Imam Malik, Imam Malik berasa kagum melihat kebijaksanaan, kecerdikan dan kefahaman yang terdapat pada Imam Asy-Syafi'i. Beliau pun berkata; “Sesungguhnya aku telah melihat Allah melontarkan ke dalam hati kamu cahaya, maka janganlah kamu memadamnya dengan kegelapan maksiat”. Imam Asy-Syafi'i pernah berkata;Aku telah mengadu kepada Waki’[1] tentang kelemahan hafalanku, lalu beliau menasihatku agar meninggalkan maksiat. Katanya; ketahuilah bahawa ilmu itu adalah kurniaan, kurniaan itu tidak diberikan kepada pelaku maksiat.

[1] Nama lengkapnya ialah Waki’ bin al-Jarrah. Seorang tabi’in dan merupakan guru kepada Imam asy-Syafi’i.