Monday, December 28, 2009

Kisah 7 - Sayyidah Nafisah r.anha berketurunan Rasulullah saw

Bumi Mesir diberi kelebihan oleh Allah dengan bersemadinya sekalian ramai jasad Ahlul Bait. Antara mereka ialah Sayyidah Nafisah r.anha. Nama Sayyidah Nafisah tidak asing lagi bagi umat Islam di Mesir ini. Masjid beliau yang terletak berhampiran Kubu Salahudin Al-Ayubi, Kaherah menjadi saksi betapa kasihnya umat Islam kepada beliau apatah lagi tanggal 9 Jamadilakhir setiap tahun, sekalian umat Islam akan berkumpul di perkarangan masjid beliau bagi merayakan maulid beliau.
Berdekatan masjid beliau, juga terdapat beberapa maqam Ahlul Bait Nabi dan ulamak yang lain antaranya Sayyidah Sukainah binti Saidina Husein, Sayyidah Ruqayah binti Saidina Ali, bapa saudaranya Sayyid Muhammad Al-Anwar dan pengarang kitab "Tafsir Mimpi" Imam Ibnu Sirin.
Keturunan Mulia
Sayyidah Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai “Ummul ‘Ulum” (ibu sekalian ilmu). Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah s.a.w. “Nafisah” diambil dari kalimah "an-nafasah" yang bermaksud kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu. Beliau sangat menyerupai emak saudara sebelah bapanya yang bernama Sayyidah Sukainah al-Kubra binti Zaid r.anhum.
Ayahandanya Sayyid Hasan al-Anwar diberi gelaran “al-Anwar” iaitu yang bercahaya kerana keadaan mukanya yang kelihatan bercahaya kesan daripada kuat ibadat yang ikhlas kepada Allah. Beliau dilantik oleh Khalifah Jaafar al-Mansur sebagai gabenor Madinah al-Munawarah tahun 150 hijrah. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Mekah tanggal 11 Rabiul Awal tahun 145 hijrah. Beliau dibesarkan di Madinah kerana ayahandanya seorang gabenor. Sejak kecil, beliau lebih suka membaca al-Quran, selawat ke atas Nabi di samping gemar menziarahi maqam Nabi. Hingga satu masa, setelah usia Sayyidah Nafisah mencecah beberapa tahun, ayahandanya telah membawa beliau menuju ke bilik yang bersemadi jasad Rasulullah s.a.w. Lalu ayahandanya berkata, "Ya Rasulullah! Redhailah anak perempuan aku yang aku namakan Nafisah ini." Lalu satu malam ayahandanya bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda, "Wahai Hasan!Sesungguhnya aku telah meredhai anakmu yang juga zuriatku, Nafisah dan Allah Taala juga meredhainya dengan sebab redha aku kepadanya".
Perkahwinan
Sayyidah Nafisah berkahwin dengan sepupu beliau yang berketurunan Saidina Husein, Sayyidi Ishaq al-Mu'taman bin Saidina Jaafar As-Sodiq bin Saidina Muhammad al-Baqir bin Saidina Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali menantu Rasulullah s.a.w. Suaminya digelar sebagai "al-Mu'taman" kerana beliau seorang yang sangat amanah dan kuat imannya. Beliau merupakan saudara kandung kepada Sayyidah Aisyah (bukan Aisyah isteri Rasulullah s.a.w) iaitu anak kepada Saidina Jaafar as-Sodiq. Sayyidah Aisyah juga disemadikan dalam masjidnya di Hayyu Al-Khalifah dekat dengan Kubu Salahudin Al-Ayubi di Kaherah. Tatkala Sayyid Hasan Al-Anwar meninggalkan jawatan gabenor Madinah, ia diganti oleh menantunya Sayyid Ishaq Al-Mu'taman sebagai gabenor bagi khilafah Abbasiyah. Beliau diakad nikah pada hari Jumaat 5 Rejab tahun 161 hijrah dan telah dikurniakan dua cahaya mata bernama Qasim dan Ummu Kalthum.
Ibadat Sayyidah Nafisah
Sayyidah Nafisah sangat gemar membaca al-Quran, kuat berpuasa di siang hari, solat pada malamnya, amat kasihan belas kepada orang miskin, anak-anak yatim dan manusia sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga anak saudaranya, beliau berkata, “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku (sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun. Aku tidak pernah lagi melihat Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa) kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya, “Wahai emak saudaraku!Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata, “Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan dihadapanku azab Allah sedang menanti. Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali orang-orang yang berjaya.”
Sayyidah Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah “Tuhan ku!Penciptaku!Penolongku!Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding (hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku!Permudahkanlah aku menziarahi kubur kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Mekah)”.
Pada hari yang kesepuluh akhir Ramadhan tahun 193 hijrah Sayyidah Nafisah bermusafir ke Mesir bersama suami, ayah dan kedua-dua anaknya yang ketika itu umur beliau mencecah 48 tahun kerana bertujuan menziarahi ahli keluarga Rasulullah s.a.w yang lain di Mesir. Setelah menziarahi Mekah dan Baitulmaqdis, mereka tiba di Mesir dengan disambut meriah oleh sekalian penduduk Mesir termasuk sekalian pembesar negara ketika itu. Kebanyakan mereka menjemput Sayyidah Nafisah ke rumah. Hinggalah beliau tiba di rumah Ummu Hani’, satu keajaiban telah berlaku apabila Allah s.w.t telah memuliakan hamba-Nya itu dengan disembuhkan kecacatan seorang budak perempuan Yahudi dengan keberkatan air wuduk Sayyidah Nafisah yang menyebabkan keluarga budak tadi memeluk Islam. Sejak itu,berduyun-duyun manusia menziarahi Sayyidah Nafisah meminta doa dengan pelbagai hajat hingga suaminya bercita-cita untuk kembali ke Madinah. Lalu Sayyidah Nafisah berkata, “Aku tidak boleh berbuat demikian kerana aku melihat Rasululah s.a.w dalam mimpi bersabda,“Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mematikan kamu di sana”.
Kasihnya beliau kepada Mesir dan penduduknya amatlah tinggi. Beliau pernah berkata, “Sesungguhnya aku amat menyayangi penduduk Mesir. Aku bercita-cita untuk dikuburkan di sini. Allah memuliakan Mesir dengan menyebutnya dalam al-Quran sebagaimana disebutnya Mekah.” (rujuk kitab Ad-Durr An-Nafisah oleh Syeikh Ramadhan Abdu Rabbuhu Asfur r.anhu).
Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie
Imam Syafi’e r.anhu, Imam mazhab Feqah yang masyhur sempat hidup sezaman dengan Sayyidah Nafisah. Sayyidah Nafisah menjalani kehidupan di Mesir selama 15 tahun iaitu dari 26 Ramadhan tahun 193 hijrah hingga 15 Ramadhan tahun 208 hijrah. Imam Syafi’e amat kerap menziarahi beliau. Ini sebagai tanda mulia dan kasihnya Imam Syafi’e kepada ahli keluarga Nabi. Selain ziarah, Imam Syafi’e juga turut mendengar bacaan hadis daripada Sayyidah Nafisah dan beliau juga membaca hadith kepada Sayyidah Nafisah. Beliau juga kerap menunaikan solat terawih di masjid Sayyidah Nafisah dan apabila Imam Syafi’e ditimpa sakit beliau pasti akan menghantar seorang utusan bertemu Sayyidah Nafisah dan mengirim salam bertujuan menggantikannya menziarahi Sayyidah Nafisah. Beliau pasti meminta Sayyidah Nafisah mendoakan kesihatan untuk beliau. Hingga satu hari beliau ditimpa sakit yang membawa kepada kewafatan beliau, seperti biasa seorang utusan diutus bertemu Sayyidah Nafisah dan kali ini Sayyidah Nafisah berdoa, “Semoga Allah memberikan kepadanya (Imam Syafi’e) sebaik-baik pertemuan dan memberikan kenikmatan dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Maka utusan itu kembali dan memberi tahu apa yang didengar kepada Imam Syafi’e lalu beliau tahulah bahawa ajalnya bakal tiba tidak lama lagi. Lalu Imam Syafi’e berwasiat agar Sayyidah Nafisah menyembahyangkan jenazahnya lalu wafatlah Imam Syafi’e pada hari Khamis, akhir bulan Rejab tahun 204 hijrah.
Apabila mendengar berita kewafatan Imam Syafi’e dengan penuh kesedihan, Sayyidah Nafisah berdoa,” Semoga Allah merahmatinya,dan adalah dia seorang yang memperelok wuduk”. Ini adalah sebagai penyaksian Sayyidah Nafisah kerana wuduk adalah asas melakukan ibadat. Apabila cantik asasnya maka cantiklah ibadat yang dibina padanya seolah-olah beliau berkata, “Imam Syafi’e itu elok pada ijtihadnya.” Tatkala terasa kesakitan yang menimpa amatlah kuat hingga memisahkannya dari dunia,Sayyidah Nafisah mula menggalikan kubur dalam biliknya. Pada saat-saat akhir usianya,beliau sering turun dan beribadat dalam liang lahad tersebut dengan banyak bersembahyang sunat dan membaca al-Quran. Berkata Al-Allamah Al-Ajhauri, “Adalah Sayyidah Nafisah membaca al-Quran dan mengkhatamnya dalam kuburnya sebanyak 6,000 kali dan beliau menghadiahkan pahalanya kepada sekalian umat Islam yang telah meninggal dunia.”
Menghembus Nafas Terakhir
Kesakitan yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 hijrah dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata, “Pelik sungguh. Aku berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka?”.
Kesakitan yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan. Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127 daripada Surah al-An’am yang bermaksud, “Bagi mereka itu (orang-orang yang merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.” Ketika selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap Allah.
Disemadikan Di Mesir
Setelah kewafatan Sayyidah Nafisah,suaminya Ishaq al-Mu’taman telah bercadang untuk membawa kembali jasad Sayyidah Nafisah ke Madinah untuk dikebumikan bersama-sama ahli keluarganya yang lain. Tetapi,penduduk Mesir telah membantah dan meminta agar Sayyidah Nafisah disemadikan di Mesir dalam kubur yang digali dengan tangan beliau sendiri. Setelah cubaan memujuk keluarganya menemui jalan buntu, sekalian penduduk Mesir telah mengadu kepada Ubaidillah bin as-Sura, gabenor Mesir ketika itu agar dapat menangani masalah ini dengan baik. Dikatakan sekalian penduduk Mesir telah mengumpulkan sekalian harta bagi diberikan kepada keluarga Sayyidah Nafisah agar hasrat untuk mengembalikan Sayyidah Nafisah ke Madinah dibatalkan. Pada malamnya,suaminya telah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan Baginda bersabda kepada Ishaq,” Wahai Ishaq! Kembalikan harta manusia (penduduk Mesir) kepada mereka dan semadikan Nafisah di sisi mereka kerana rahmat diturunkan kepada mereka dengan berkat Nafisah.” Keesokannya, Sayyid Ishaq telah memaklumkan mimpinya kepada penduduk Mesir. Dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah, jasad Sayyidah Nafisah disepurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid padanya yang dinamakan “Masjid Sayyidah Nafisah”. Setelah itu,suaminya bersama dua lagi anaknya kembali ke Madinah dan meninggal dunia di sana. Semoga Allah meredhai sekalian Ahli Bait Rasulullah s.a.w. dan menghimpunkan kita sekalian bersama-sama meraka di bawah panji datuk mereka dan pemberi syafaat kita,Nabi Muhammad s.a.w. Amin.
(Petikan daripada kitab Hadhratus Sayyidah Nafisah r.anha tulisan Syeikh Muhammad Muntasar Ahmad Hamid Al-Helwani)

Pendaftaran 2010 bermula

Pendaftaran rasmi telah pun bermula pada 25 Disember 2009. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sesi pendafaftaran untuk kemasukan 2010 bagi pembelajaran KAFA dan Tadika akan terus dibuka sehingga 4 Januari 2010.




Banner pendaftaran 2010


Ibubapa mendaftar anak-anak mereka


Jamuan ringan disediakan


Pakej pembelajaran KAFA dan Tadika


Pakaian sekolah (KAFA dan tadika) turut dijual di madrasah

Tuesday, December 22, 2009

Kelebihan Puasa pada Hari Asyura

Daripada Ibni Abbas Radiallahu anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah berpuasa pada hari Asyura’ dan memerintahkan manusia supaya berpuasa pada hari itu. Makna hari Asyura’ ialah hari yang kesepuluh daripada Muharram dan berpuasa pada hari itu adalah sunnat yang dituntuti kerana Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa setahun yang lalu kerana sesungguhnya hari itu adalah hari Muasawi. Dan berpuasa pada hari Arafah, Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa 2 tahun yang lalu kerana sesungguhnya hari itu adalah hari Muhammad. Pada asal kalimat, berpuasa pada sepuluh hari bulan Muharram adalah perintah wajib. Tetapi, kerana telah di nasakhkan menjadi sunnat, maka perintah puasa pada hari Asyura’ itu amatlah besar pahalanya.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu fadhilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini.
Daripada A’isyah Radiallahu anha ia berkata : Adalah hari Asyura’ itu satu hari yang telah berpuasa oleh orang Qurais pada zaman jahiliyyah dan adalah Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah ia pun berpuasa pada hari itu dan ia memerintahkan manusia supaya berpuasa. Apabila puasa bulan Ramadhan telah di fardukan, maka puasa pada hari Asyura’ itu tidak menjadi wajib lagi dan mereka pun meninggalkan amalan berpuasa pada hari Asyura’. Maka barangsiapa menghendaki, hendaklah berpuasa dan barangsiapa tidak menghendaki bolehlah meninggalkannya.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam, sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan, juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka.10 MUHARRAM (HARI ASYURA’) MENINGGALKAN BANYAK PERISTIWA SEJARAH DIANTARANYA:
1) Arasy, kurshi dan Syurga dicipta.
2) Langit, matahari, bulan, bintang dan bumi dicipta.
3) Nabi Adam dicipta dari tanah.
4) Nabi Adam dimasukkan ke dalam Syurga.
5) Taubat Nabi Adam diterima ALLAH.
6) Bahtera Nabi Nuh mendarat di bukit Judi.
7) Nabi Ibrahim keluar daripada api.
8) Penglihatan Nabi Yaakub pulih semula.
9) Nabi Yusuf keluar dari perigi.
10) Nabi Ayub sembuh daripada menderita penyakit kulit.
11) Nabi Musa selamat menyeberangi lautan sementara Firaun dan pengikut²nya tenggelam ke dalam lautan Merah.
12) Nabi Sulaiman dikurniakan semula kekuasaan (kerajaan).
13) Nabi Yunus dikeluarkan dari perut ikan Nun.
14) Nabi Isa dilahirkan.
15) Nabi Isa diangkat kelangit.
16) Hujan turun buat kali pertama kalinya membasahi bumi.
Dirujuk dari http://jaipp.penang.gov.my/kelebihanpuasa_ramadhan.htm. Dicapai pada 23 Disember 2009

Tuesday, December 15, 2009

Doa akhir tahun dan awal tahun

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :"Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata : "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

Saturday, November 28, 2009

Hikmah Ibadah Korban

Ibadat korban mempunyai begitu banyak hikmah. Ia melambangkan kesediaan seorang hamba untuk berkorban demi Tuhan-Nya, seperti di dalam kisah kesediaan Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya, Nabi Isma’il a.s, demi menjunjung dan mentaati perintah Allah s.w.t.
Korban merupakan salah satu syiar agama yang harus ditegakkan. Pada masa yang sama, janganlah sampai kita pentingkan perbuatan yang zahir dan kita lupakan yang lebih utama, iaitu maksud dan tujuan sebalik amalan tersebut. Maksud dan tujuan ibadat ini adalah untuk melahirkan rasa pengorbanan kepada Allah s.w.t. sebagai tanda taqwa kita kepada-Nya.
Bacalah kisah pengorbanan anak-anak Nabi Adam a.s. Mereka melakukan amalan yang sama pada zahirnya, iaitu penyembelihan korban. Namun, satu diterima, manakala yang satu lagi ditolak Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ma’idah ayat 27:
Yang bermaksud: Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.
Inilah di antara maksud pengukuhan kerohanian yang Islam inginkan. Bahawa Islam mahukan kerohanian yang mendalam, dan menjadikan kita insan yang jujur lagi benar dalam hubungan dengan Allah s.w.t. Amalan kita mungkin serupa dengan apa yang dikerjakan oleh orang lain, samada solat, zakat atau sedekah, bacaan Al-Quran, haji dan sebagainya. Namun, penerimaan Allah s.w.t bagi setiap amalan berbeza. Di sini, penilaian Allah s.w.t. yang sebenarnya adalah pada niat dan keikhlasan kita. Maka latihlah diri kita untuk menjaga tujuan dan matlamat amalan, dan peliharalah ia dari dirosakkan.

Begitulah yang diingatkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. kepada kita di dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim:
Yang bermaksud: Dari Sayyidina Umar r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanya sanya setiap amalan bergantung pada niatnya. Dan bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya bagi Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah untuk keinginan dunia atau wanita yang ingin dinikahi, maka (balasan) hijrahnya kembali kepada tujuan sebenar hijrahnya.

Monday, November 23, 2009

Anjuran berpuasa pada hari Arafah

Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah.
Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Kelebihan Bulan Zulhijjah

Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda. Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.
Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.
Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.
Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).
Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
Dipetik dari http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=14&parent=06. Dicapai pada 24 November 2009

Monday, November 16, 2009

Program lawatan ke Muzium Kesenian Islam dan Planetarium Negara

Program ini dijalankan sehari selepas majlis penyampaian hadiah. Jadi dapatlah dibayangkan betapa kami agak sibuk pada minggu tersebut. Selesai sahaja majlis penyampaian hadiah, kami menyambung pula kerja-kerja persiapan untuk program lawatan yang akan dijalankan esoknya. Cuaca sangat baik pada hari lawatan tersebut. Para pelajar telah siap berkumpul seawal jam 7.30 pagi. Mereka benar-benar semangat hendak mengikuti lawatan. Ibubapa juga ada yang menunggu anak-anak mereka sementara bas rombongan belum sampai. Bas sampai sekitar jam 8.30 pagi. Bas yang ditempah ialah sebuah bas persiaran. Melihat kepada no plat pendaftarannya, ianya adalah sebuah bas yang baru. Kondisi dalamannya sangat selesa dan mempunyai ruang dalaman yang agak luas. Perancangan awal ialah hendak menggunakan bas sekolah tetapi harga sewanya terlalu mahal malah harga sewa bas persiaran jauh lebih murah dari bas sekolah. Kami kemudiannya memutuskan untuk menggunakan bas persiaran kerana selain harganya yang lebih murah, keadaan dalamannya juga jauh lebih selesa. Sekalung tahniah kepada Cikgu Zahidah yang telah berusaha mencari bas yang terbaik untuk program lawatan ini. Destinasi pertama ialah Muzium Kesenian Islam. Dari madrasah menuju ke muzium mengambil masa sekitar 40 minit. Perjalanan sangat lancar kerana tidak banyak kenderaan diatas jalan pada hari minggu. Kami turun dihadapan muzium kira-kira 20 minit lebih awal dari yang dijadualkan. Pelajar-pelajar berkumpul mengikut kumpulan masing-masing. Pada satu hujung yang lain dihadapan perkarangan muzium, kelihatan pelajar dari satu sekolah lain (rasanya sekolah KAFA juga berdasarkan kepada pakaian mereka) sudah bersiap-sedia hendak bergerak menuju ke muzium. Lebih kurang jam 10 pagi setelah selesai memberi sedikit penerangan kepada pelajar, kami bergerak menuju ke pintu utama muzium. Terdapat 12 galeri yang perlu dilawati sepanjang 2 jam berada di muzium tersebut. Masa terasa begitu singkat. Tengok-tengok jam dah pukul 12 tengah hari. Pelajar kemudiannya dibawa ke sebuah bilik aktiviti kanak-kanak. Disitu, pelajar boleh bermain, membaca buku dan melakukan pelbagai aktiviti indoor. Sambil melihat keletah mereka bermain dan membuat bermacam aktiviti, guru-guru secara bergilir membawa kumpulan masing-masing pergi ke kedai buku dan cenderamata yang terletak bersebelahan dengan bilik aktiviti tersebut. Ada yang membeli pen, mug dan buku. Saya pula sangat berkenan melihat barang-barang antik dan bersejarah seperti astro lab dan beberapa barang lain tetapi harganya sangat mahal. Melawat muzium meninggalkan kenangan manis buat kami kerana disinilah kami dapat melihat kehebatan tamadun Islam berdasarkan artifak yang dipamerkan disitu. Cuma yang agak mengecewakan ialah para pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar. Kata pegawai yang bertugas, peraturan di muzium agak ketat dimana pengunjung tidak dibenarkan langsung mengambil gambar bahan pameran. Alasan yang diberikan ialah bahan pameran tersebut adalah milik persendirian. Untuk dijadikan kenang-kenangan, cara terbaik ialah dengan membeli buku yang dikeluarkan sendiri oleh pihak muzium yang menghimpunkan pelbagai jenis artifak yang dipamerkan. Kebetulan pada hari kami mengadakan lawatan itu, satu pameran khas tentang perjalanan haji ke Makkah sedang berlangsung. Dapatlah kami melihat bahan-bahan pameran yang berkaitan dengannya. Kami keluar dari pintu utama sekitar jam 12.30 tengah hari. Bas sudah siap menunggu di tepi Masjid Negara. Kami menunaikan solat zohor di Masjid Negara dan selepas itu, menikmati hidangan tengahari dengan bekalan yang telah dibawa bersama. Lebih kurang jam 2.30 petang, kami menuju ke destinasi berikutnya iaitu Planetarium Negara. Ketika mula-mula sampai, pelawat tidaklah begitu ramai. Sebaik sahaja pelajar memasuki bilik tayangan video, barulah rombongan dari sekolah-sekolah lain sampai dan memenuhi setiap ruang pameran didalam planetarium. Saya sempat berbual-bual dengan pengawal keselamatan yang bertugas pada hari itu. Katanya, planetarium itu sedang dalam proses penaiktarafan. Apabila siap kelak, pengunjung akan dapat melihat lebih banyak bahan pameran berbanding pada masa ini. Apapun para pengunjung berpeluang melihat bahan-bahan pameran yang ada kaitan dengan angkasawan pertama negara iaitu Sheikh Muszaphar. Kami bertolak pulang dari Planetarium sekitar jam 4.30 petang dan sampai di madrasah seperti yang dijadualkan iaitu pada jam 5.30 petang. Secara keseluruhannya, program ini mencapai objektif yang disasarkan iaitu memberi pendedahan ilmiah kepada para pelajar dan pada masa yang sama memberi ruang kepada para pelajar berhibur dan bersantai secara beradab dan berakhlak selaras mengikut syariat Islam.




Pelajar berhimpun di perkarangan madrasah menantikan taklimat ringkas dari guru

Para pelajar berkumpul mengikut kumpulan masing-masing

Bas persiaran yang disewa

Kami sampai di destinasi pertama awal 20 minit dari yang dijadualkan. Alhamdulillah


Para pelajar berkumpul disatu kawasan teduhan bertentangan dengan muzium


Pintu utama muzium seawal jam 10 pagi

Para pelajar menunggu sesi taklimat dari pegawai muzium

Sesi taklimat sedang diberikan oleh pegawai muzium

Bilik aktiviti kanak-kanak yang disediakan oleh pihak muzium

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan didalam bilik ini samada secara berkumpulan atau individu

Ramai yang lebih suka bermain dengan permainan yang disediakan oleh pihak muzium

Kedai menjual buku dan cenderamata. Terletak bersebelahan dengan bilik aktiviti kanak-kanak

Ruang pancuran air yang kelihatan dari ruang legar sebelah kedai buku dan cenderamata

Laluan menuju ke ruang pameran khas, "Perjalanan Haji ke Makkah"

Satu senibina yang menarik

Pelajar mengambil kesempatan bergambar di luar muzium


Sesi bergambar di luar muzium

Menunaikan solat zohor di Masjid Negara

Pelajar perempuan bersama guru di Masjid Negara setelah selesai menunaikan solat zohor

Sampai di destinasi kedua iaitu Planetarium Negara sekitar jam 2.40 petang

Laluan menuju ke Planetarium Negara dari aras bawah (tempat parkir bas)

Replika didalam kapal angkasa

Para pelajar merasa sendiri suasana berada didalam kabin replika

Model kapal angkasa yang dipamerkan


Model kapal angkasa


Pelajar bergaya seperti angkasawan

Replika enjin kapal angkasa

Penerangan tentang enjin kapal angkasa tersebut

Para pelajar seronok bermain dengan replika bahagian pemandu kapal angkasa

Para pelajar KAFA dan tadika beria-ria mencuba suis-suis yang ada dibahagian pemandu kapal angkasa (replika)

Nabil (pelajar tahun 5) sedang bersiap-sedia memasuki simulasi kapal angkasa


Nabil ghairah ketika mula memasuki simulasi. Tahniah Nabil kerana berani mencuba!

Ucapan pengerusi sempena majlis penyampaian hadiah MAPTAM 2009

Assalamualaikum wbh, yang saya muliakan para guru, pengetua, ibubapa dan para pelajar yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta’ala, kita sekali lagi dapat mengadakan majlis ini yang merupakan acara tahunan bagi menghargai pencapaian cemerlang anak-anak kita. Pada tahun ini, kita mengadakan majlis ini di bangunan madrasah. Dengan segala kekurangan yang ada, terlebih dahulu saya memohon maaf. Kita tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi pada tahun ini, Insya-Allah jika kita mempunyai peruntukan yang banyak, berkemungkinan besar kita akan mengadakannya di Dewan Besar Taman Putra Perdana seperti yang pernah dilakukan pada satu masa dahulu. Apapun, yang paling penting ialah makna majlis ini dan pengisiannya bukannya pada kehebatan penganjuran majlis ini. Itulah sebabnya kita tetap juga mengadakan majlis ini kerana sebagai acara tahunan ia sangat bermakna baik kepada pelajar, ibubapa bahkan kepada para guru. Dengan adanya majlis ini, ia bukan setakat menghargai pencapaian cemerlang pelajar tetapi juga menjadi pendorong atau penggalak kepada para pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang. Kepada ibubapa, ingin saya tegaskan disini bahawa pendidikan agama adalah satu pendidikan yang sangat penting kepada anak-anak. Kita harus ingat bahawa pendidikan agama bukanlah pendidikan tempelan atau pendidikan kelas dua. Sewajarnya pendidikan ini diletakkan sebagai pendidikan no.1 manakala pendidikan akademik d sekolah harian itu adalah pendidikan no. 2 kerana ia mendidik para pelajar tentang ilmu-ilmu alat sahaja. Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para ibubapa yang masih mengambil berat tentang pendidikan agama dan menghantar anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu agama. Pendidikan agama adalah satu pendidikan yang berterusan. Kepada para pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini khususnya pelajar tahun enam, teruskanlah usaha untuk menuntut ilmu agama dan jangan biarkan ia terhenti begitu sahaja. Ibubapa perlulah mengikhtiarkan anak-anak dengan mendapatkan guru agama bagi memastikan anak-anak mendapat didikan agama yang secukupnya. Kita tidak mahu anak-anak menjadi tidak tentu arah atau menjadi liar akibat kurangnya didikan agama.
Hadirin yang dirahmati Allah, pencapaian kita pada tahun ini tidak berada pada tahap yang terbaik. Keputusan peperiksaan PSRA yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan pencapaian madrasah tidak berada pada kedudukan yang terbaik namun bagi saya, itu bukanlah kayu pengukur kejayaan yang sebenar. Apa yang penting ialah anak-anak mendapat sesuatu yang berharga setiap kali belajar di madrasah ini. Jika mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan maka ia adalah satu bonus. Satu masa dahulu, anak-anak ini mungkin tidak tahu untuk membaca doa tapi hari ini kita dapat lihat bagaimana anak-anak telah boleh menghafaz doa bahkan ada doa-doa tertentu yang diajar pula oleh anak-anak kita kepada kita. Inilah yang saya maksudkan tadi sebagai pengisian. Pengisian di sekolah adalah satu perkara yang sangat penting. Adalah penting untuk kita menerapkan ilmu adab dan akhlak kepada anak-anak selain akademik semata-mata.
Insya Allah pada tahun hadapan perancangan madrasah ialah hendak memperbanyakkan aktiviti pembacaan sirah dan salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Pendedahan sirah Nabi saw kepada anak-anak adalah satu perkara yang sangat penting. Hari ini kita dapat lihat anak-anak lebih menghafal nama-nama artis berbanding dengan nama ahli keluarga Nabi saw. Anak-anak juga lebih suka menghafal lagu-lagu yang didendangkan oleh penyanyi berbanding menghafal qasidah atau salawat yang memuji Nabi saw. Sedangkan kita tahu bahawa menyanyikan lagu-lagu yang tidak membawa manfaat hanya akan menyebabkan kita lalai dan mungkin akan menyebabkan dosa sebaliknya jika kita mengalunkan qasidah dan membaca salawat, kita akan mendapat pahala kerana didalamnya terkandung doa dan pujian-pujian kepada Allah Taala dan Rasul-Nya. Akhir sekali, sukalah saya menyarankan kepada anak-anak agar memanfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya. Jangan tinggal solat dan rajin-rajinlah membaca al-Quran. Jika berjumpa dengan orang yang lebih tua, bersalam dan ciumlah tangan mereka. Itulah adab yang sebaik-baiknya.

Majlis Penyampaian Hadiah Madrasah Pra-Tahfiz al-Mansoorah 2009


Kerja-kerja menghias pentas dilakukan pada petang Jumaat selepas habis kelas. Hadiah-hadiah pula dibalut bermula pada awal minggu tersebut. Kedua-dua aktiviti tersebut dilakukan bagi menyambut majlis penyampaian hadiah madrasah yang bakal berlangsung pada esok harinya iaitu Hari Sabtu. Tahun ini, pengurusan MAPTAM dan para-para guru sedia ada menyambutnya buat kali pertama selepas pihak pengurusan bertukar tangan pada penghujung tahun lepas. Majlis pada tahun ini diadakan secara sederhana. Majlis tersebut dilakukan didalam bangunan madrasah yang merupakan rumah semi-cluster yang tidaklah begitu besar ruang saiznya. Asalnya sambutan tersebut hendak diadakan dibawah bumbung luar bangunan madrasah kerana ruang disitu lebih luas tetapi memandangkan sekarang musim hujan maka diputuskan bahawa sambutan tersebut diadakan didalam rumah sahaja. Guru-guru membuat persiapan dengan penuh dedikasi. Selain membuat kerja-kerja yang disebut diatas, mereka juga telah melatih anak-anak murid mereka untuk membuat persembahan. Hari yang ditunggu akhirnya tiba. Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi. Ibubapa juga ramai yang hadir memenuhi perkarangan sekolah. Pengerusi majlis, Cikgu Zahidah memulakan majlis mengalu-alukan kedatangan para hadirin. Majlis seterusnya dibuka dengan bacaan ayat al-Quran beserta dengan terjemahannya sekali oleh dua orang pelajar madrasah. Ini disusuli dengan ucapan pengerusi. Memandangkan ibubapa ramai yang hadir, maka saya membuat sedikit perubahan pada teks ucapan dimana sebahagian besar isi kandunga merujuk kepada perancangan yang akan dilakukan pada tahun depan oleh pihak madrasah dan perlunya pendidikan agama yang berterusan kepada anak-anak. Majlis kemudiannya disambung dengan persembahan pelajar yang terdiri dari pelajar-pelajar tadika dan KAFA. Terhibur kami melihat telatah mereka yang berusaha membuat persembahan sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh walaupun ruang persembahan agak sempit. Acara seterusnya ialah acara yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar dan pastinya ibubapa mereka juga iaitu acara penyampaian hadiah. Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan akhir tahun akan diberikan hadiah. Tiga pelajar terbaik iaitu tempat pertama, kedua dan ketiga dari setiap darjah akan menerima hadiah. Majlis kemudiannya ditamatkan dengan cabutan bertuah. Hadiah-hadiah disampaikan secara berselang-seli oleh pengetua dan pengerusi madrasah. Selepas majlis selesai, jamuan ringan disediakan untuk para pelajar dan ibubapa. Majlis berakhir sekitar jam 11.00 pagi tepat seperti yang dijadualkan.


Majlis bermula sekitar jam 8.30 pagi

Para pelajar dan ibubapa telah memenuhi ruang dalam bangunan madrasah

Hadirin sedang menunggu pengerusi majlis memulakan acara

Majlis dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran beserta terjemahan

Pelajar tadika membuat persembahan yang sangat menghiburkan

Pelajar tahun 1 mendendangkan nasyid yang sangat menarik

Lagi persembahan dari pelajar tahun 1



Persembahan pelajar tahun 2 juga amat menarik

Pelajar tahun 2 berusaha memberikan persembahan terbaik dihadapan khalayak

Pelajar tahun 3 membuat persembahan lain dari yang lain iaitu dikir barat

Satu persembahan menarik dari pelajar tahun 3

Majlis bersurai sekitar jam 11 pagi. Sebelum berakhir, jamuan ringan disediakan untuk ibubapa dan pelajar