Saturday, November 28, 2009

Hikmah Ibadah Korban

Ibadat korban mempunyai begitu banyak hikmah. Ia melambangkan kesediaan seorang hamba untuk berkorban demi Tuhan-Nya, seperti di dalam kisah kesediaan Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya, Nabi Isma’il a.s, demi menjunjung dan mentaati perintah Allah s.w.t.
Korban merupakan salah satu syiar agama yang harus ditegakkan. Pada masa yang sama, janganlah sampai kita pentingkan perbuatan yang zahir dan kita lupakan yang lebih utama, iaitu maksud dan tujuan sebalik amalan tersebut. Maksud dan tujuan ibadat ini adalah untuk melahirkan rasa pengorbanan kepada Allah s.w.t. sebagai tanda taqwa kita kepada-Nya.
Bacalah kisah pengorbanan anak-anak Nabi Adam a.s. Mereka melakukan amalan yang sama pada zahirnya, iaitu penyembelihan korban. Namun, satu diterima, manakala yang satu lagi ditolak Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ma’idah ayat 27:
Yang bermaksud: Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.
Inilah di antara maksud pengukuhan kerohanian yang Islam inginkan. Bahawa Islam mahukan kerohanian yang mendalam, dan menjadikan kita insan yang jujur lagi benar dalam hubungan dengan Allah s.w.t. Amalan kita mungkin serupa dengan apa yang dikerjakan oleh orang lain, samada solat, zakat atau sedekah, bacaan Al-Quran, haji dan sebagainya. Namun, penerimaan Allah s.w.t bagi setiap amalan berbeza. Di sini, penilaian Allah s.w.t. yang sebenarnya adalah pada niat dan keikhlasan kita. Maka latihlah diri kita untuk menjaga tujuan dan matlamat amalan, dan peliharalah ia dari dirosakkan.

Begitulah yang diingatkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. kepada kita di dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim:
Yang bermaksud: Dari Sayyidina Umar r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanya sanya setiap amalan bergantung pada niatnya. Dan bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya bagi Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah untuk keinginan dunia atau wanita yang ingin dinikahi, maka (balasan) hijrahnya kembali kepada tujuan sebenar hijrahnya.

No comments:

Post a Comment