Monday, November 16, 2009

Ucapan pengerusi sempena majlis penyampaian hadiah MAPTAM 2009

Assalamualaikum wbh, yang saya muliakan para guru, pengetua, ibubapa dan para pelajar yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta’ala, kita sekali lagi dapat mengadakan majlis ini yang merupakan acara tahunan bagi menghargai pencapaian cemerlang anak-anak kita. Pada tahun ini, kita mengadakan majlis ini di bangunan madrasah. Dengan segala kekurangan yang ada, terlebih dahulu saya memohon maaf. Kita tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi pada tahun ini, Insya-Allah jika kita mempunyai peruntukan yang banyak, berkemungkinan besar kita akan mengadakannya di Dewan Besar Taman Putra Perdana seperti yang pernah dilakukan pada satu masa dahulu. Apapun, yang paling penting ialah makna majlis ini dan pengisiannya bukannya pada kehebatan penganjuran majlis ini. Itulah sebabnya kita tetap juga mengadakan majlis ini kerana sebagai acara tahunan ia sangat bermakna baik kepada pelajar, ibubapa bahkan kepada para guru. Dengan adanya majlis ini, ia bukan setakat menghargai pencapaian cemerlang pelajar tetapi juga menjadi pendorong atau penggalak kepada para pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang. Kepada ibubapa, ingin saya tegaskan disini bahawa pendidikan agama adalah satu pendidikan yang sangat penting kepada anak-anak. Kita harus ingat bahawa pendidikan agama bukanlah pendidikan tempelan atau pendidikan kelas dua. Sewajarnya pendidikan ini diletakkan sebagai pendidikan no.1 manakala pendidikan akademik d sekolah harian itu adalah pendidikan no. 2 kerana ia mendidik para pelajar tentang ilmu-ilmu alat sahaja. Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para ibubapa yang masih mengambil berat tentang pendidikan agama dan menghantar anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu agama. Pendidikan agama adalah satu pendidikan yang berterusan. Kepada para pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini khususnya pelajar tahun enam, teruskanlah usaha untuk menuntut ilmu agama dan jangan biarkan ia terhenti begitu sahaja. Ibubapa perlulah mengikhtiarkan anak-anak dengan mendapatkan guru agama bagi memastikan anak-anak mendapat didikan agama yang secukupnya. Kita tidak mahu anak-anak menjadi tidak tentu arah atau menjadi liar akibat kurangnya didikan agama.
Hadirin yang dirahmati Allah, pencapaian kita pada tahun ini tidak berada pada tahap yang terbaik. Keputusan peperiksaan PSRA yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan pencapaian madrasah tidak berada pada kedudukan yang terbaik namun bagi saya, itu bukanlah kayu pengukur kejayaan yang sebenar. Apa yang penting ialah anak-anak mendapat sesuatu yang berharga setiap kali belajar di madrasah ini. Jika mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan maka ia adalah satu bonus. Satu masa dahulu, anak-anak ini mungkin tidak tahu untuk membaca doa tapi hari ini kita dapat lihat bagaimana anak-anak telah boleh menghafaz doa bahkan ada doa-doa tertentu yang diajar pula oleh anak-anak kita kepada kita. Inilah yang saya maksudkan tadi sebagai pengisian. Pengisian di sekolah adalah satu perkara yang sangat penting. Adalah penting untuk kita menerapkan ilmu adab dan akhlak kepada anak-anak selain akademik semata-mata.
Insya Allah pada tahun hadapan perancangan madrasah ialah hendak memperbanyakkan aktiviti pembacaan sirah dan salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Pendedahan sirah Nabi saw kepada anak-anak adalah satu perkara yang sangat penting. Hari ini kita dapat lihat anak-anak lebih menghafal nama-nama artis berbanding dengan nama ahli keluarga Nabi saw. Anak-anak juga lebih suka menghafal lagu-lagu yang didendangkan oleh penyanyi berbanding menghafal qasidah atau salawat yang memuji Nabi saw. Sedangkan kita tahu bahawa menyanyikan lagu-lagu yang tidak membawa manfaat hanya akan menyebabkan kita lalai dan mungkin akan menyebabkan dosa sebaliknya jika kita mengalunkan qasidah dan membaca salawat, kita akan mendapat pahala kerana didalamnya terkandung doa dan pujian-pujian kepada Allah Taala dan Rasul-Nya. Akhir sekali, sukalah saya menyarankan kepada anak-anak agar memanfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya. Jangan tinggal solat dan rajin-rajinlah membaca al-Quran. Jika berjumpa dengan orang yang lebih tua, bersalam dan ciumlah tangan mereka. Itulah adab yang sebaik-baiknya.

No comments:

Post a Comment