Sunday, August 9, 2009

Seminar PSRA 2009

Semalam (Ahad) telah dianjurkan satu seminar PSRA peringkat Daerah Sepang di SRA Dato' Ahmad Razali Dengkil. PSRA ini merupakan satu peperiksaan besar untuk pelajar-pelajar tahun 6 yang mengikuti persekolahan KAFA. Dari MAPTAM, seramai 6 orang pelajar Tahun 6 menghadiri seminar ini. Seramai 8 orang pelajar menduduki peperiksaan PSRA pada tahun ini tetapi dua pelajar tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Kesemua 6 orang pelajar MAPTAM yang hadir semalam menaiki kenderaan saya. Mereka berkumpul di perkarangan MAPTAM. Saya memuji semangat pelajar yang hadir ke seminar ini kerana ada yang datang ke MAPTAM seawal jam 6.50 pagi sedangkan pemberitahuan yang dimaklumkan sebelum ini meminta pelajar berkumpul pada 7.30 pagi. Lebih kurang pukul 7.35 pagi, kami bertolak dari MAPTAM dan sampai di destinasi lebih kurang pukul 8.00 pagi. Pada masa itu, banyak wakil dari sekolah lain belum sampai. Sekitar jam 8.20 hingga 8.30 pagi, barulah sekolah dipenuhi pelajar. Menurut urusetia seminar, kalau tak silap saya seramai 160 pelajar menghadiri seminar ini. Bahan-bahan seminar disampaikan oleh guru-guru KAFA yang sangat berpengalaman. Sesungguhnya seminar ini bagi saya sangat memberi manfaat kepada pelajar kerana bahan-bahan yang disediakan dan cara penyampaian speaker pada hari itu sangat berkesan dan berguna untuk para pelajar. Dalam seminar itu, para pelajar diajar cara-cara hendak menjawab soalan, tips-tips persediaan mengulangkaji, jenis-jenis dan pembahagian soalan, analisis soalan mengikut kekerapannya keluar setiap tahun dan sebagainya. Pendek kata, jadual seminar sangat padat dengan bahan-bahan ilmiah sepanjang ia bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Seminar ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada guru kerana pada masa inilah mereka sepatutnya mengambil kesempatan untuk berbincang dengan guru-guru yang berpengalaman luas dalam peperiksaan besar seperti PSRA. Bahan-bahan yang disediakan oleh seminar ini juga boleh dimanfaatkan oleh guru untuk persediaan pelajar bagi menghadapi peperiksaan. Guru-guru boleh menyediakan soalan mirip kepada soalan yang bakal keluar disamping menyediakan teknik-teknik khusus bagi memudahkan pelajar mengingati bahagian-bahagian penting atau memahami sesuatu topik. Kesimpulannya, seminar sebegini sangat penting kepada pelajar dan guru dan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur/urusetia kerana telah bertungkus-lumus menganjurkan seminar yang sangat bermanfaat ini. Kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan percubaan hari ini, pihak pentadbiran MAPTAM mengucapkan selamat berjaya!





Perjalanan ke SRA Dato Ahmad Razali. Sekolah ini terletak tidak jauh dari Putrajaya (berdekatan dengan Taman Selatan). Dari MAPTAM, kami mengambil jalan susur lebuhraya, Putrajaya-Cyberjaya dan mengambil jalan keluar ke Dengkil dan Taman Selatan.




Pintu gerbang Kg Dato Ahmad Razali menandakan kami telah sampai di kampung tersebut.


SRA Dato' Ahmad Razali terletak tidak jauh dari pintu gerbang tadi. Laluannya lurus sahaja dari pintu gerbang tadi hinggalah ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 500 meter sahaja.


Saya meletakkan kereta berhampiran dengan kantin sekolah. Ini adalah laluan dari kantin ke dewan seminar. Sekolah ini mengandungi satu blok pentadbiran dan kelas. Kalau tak silap saya, setiap darjah mempunyai dua kelas iaitu kelas Ghazali dan kelas Shafie yang mengambil nama sempena tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam.



Para pelajar sedang mengikuti seminar dengan khusyuk. Pada pandangan saya, para speaker yang menyampaikan persembahan sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing dan beruntunglah para pelajar yang hadir ke seminar pada hari ini kerana berpeluang menimba ilmu dari guru-guru yang berpengalaman luas itu.


1 comment: