Sunday, January 31, 2010

Peranan Guru dalam Kehidupan - Dari Meja Pengerusi



Tugas guru bukan setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mendidik bererti tugas guru itu tidak hanya terbatas pada pembelajaran didalam kelas, tetapi juga mencakupi seluruh kehidupan pelajar. Sebab itu tanggungjawab guru ini sangat berat. Bukan semua orang boleh memikul tanggungjawab ini tetapi percayalah bahawa sesiapa yang memegang jawatan ini, ia sebenarnya merupakan insan yang terpilih. Manakan tidak, dari tangannyalah akan lahir generasi masa hadapan yang bakal menjadi ulama besar, pemimpin, doktor, jurutera dan sebagainya. Justeru tugas guru ini menuntut pengorbanan yang sangat besar kerana di bahu pundaknya terbeban satu tanggungjawab yang sangat berat iaitu mendidik anak bangsa dan seterusnya menentukan hala tuju masa depan mereka. Peranan guru pada hari ini sangat mencabar. Kesibukan ibubapa dengan pekerjaan masing-masing menyebabkan anak-anak lebih banyak menghabiskan masa dengan gurunya. Atas sebab itu, guru berperanan menjadi pembimbing kepada para pelajar atau secara tidak langsung menjadi ‘ibubapa kedua’ kepada para pelajar. Guru perlu sentiasa berada dekat pelajar, menyelami isi hati mereka dan pada masa yang sama perlu bijak menangani emosi mereka. Adakalanya, pelajar lebih suka meluahkan perasaan kepada gurunya berbanding kepada ibubapanya kerana mereka lebih banyak menghabiskan masanya berada di sekolah berbanding di rumah. Maka guru menjadi pendengar yang setia kepada anak didiknya. Setiap permasalahan perlu ditangani sebaik mungkin. Selain prestasi pelajar, guru turut bertanggungjawab mengembangkan potensi dalaman pelajar. Ini termasuklah pengembangan akhlak, sahsiah dan bakat. Jadi seperti yang disebut tadi, peranan guru ini amatlah besar dan sesungguhnya guru merupakan satu pekerjaan yang sangat mulia. Oleh itu, peganglah jawatan ini sebaik-baiknya, terimalah jawatan ini sebagai satu anugerah yang perlu disemat didalam diri bukannya satu bebanan yang menggugah diri.
Salam hormat
Pengerusi MAPTAM

Kunjungan rasmi pegawai JAIS ke MAPTAM

Ustaz Ali dan Ustaz Ruzmi bertukar-tukar pandangan dengan pengurusan MAPTAM


Selasa lepas, MAPTAM telah menerima kunjungan rasmi dari pegawai JAIS daerah Sepang. Objektif kunjungan tersebut ialah untuk meninjau kaedah pengajaran dan pembelajaran guru-guru di Sekolah Rendah Islam dan seterusnya memberi komen, cadangan dan pandangan dalam usaha meningkatkan mutu profesion perguruan di Sekolah Rendah Islam. Kira-kira hampir dua jam Ustaz Ruzmi dan Ustaz Ali berada di MAPTAM dan dalam tempoh yang sesingkat itu, kedua-dua pegawai JAIS tersebut telah memberikan input yang sangat berguna kepada pengurusan MAPTAM khususnya dari segi operasi dan akademik. Pihak pengurusan MAPTAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Ruzmi dan Ustaz Ali atas lawatan yang sangat bermakna ini bagi MAPTAM.

Pengerusi MAPTAM

Tuesday, January 19, 2010

Adab dan Pendidikan - Dari Meja Pengerusi


Adab berkait rapat dengan dunia pendidikan. Proses pendidikan seharusnya mengarahkan para pelajarnya menjadi orang-orang yang beradab. Proses pendidikan yang berhubung dengan pembentukan adab ini disebut sebagai proses ta’dib. Adab sangat penting kerana tanpanya, masyarakat akan terjebak dalam kemudharatan, kezaliman, kebodohan dan kerosakan.Adab harus ditanam dalam diri seluruh manusia di segenap lapisan masyarakat, sama ada pada murid, guru, pemimpin rumah tangga, pemimpin perniagaan, pemimpin masyarakat, dan sebagainya. Kata ta’dib secara bahasa merupakan bentuk mashdar dari kata “addaba” (أدب) yang bererti memberi adab dan mendidik. Dalam kamus bahasa Arab “al-Mu’jam al-Washith”, istilah ta’dib yang biasanya diertikan sebagai “pelatihan” dan “pembiasaan” mempunyai kata makna dasar seperti berikut:
1. Ta’dib berasal dari kata dasar “aduba – ya’dubu” yang bererti melatih, mendisiplinkan diri untuk berperilaku yang baik dan sopan santun.
2. Berasal dari kata dasar “adaba – ya’dibu” yang bererti mengadakan pesta atau jamuan yang terakit-rapat dengan perihal berbuat dan berperilaku sopan.
3. Kata “addaba” sebagai bentuk kata kerja “ta’dib” mengandungi pengertian mendidik, melatih, memperbaiki, mendisiplin, dan memberi tindakan.
Tokoh pemikir besar masa kini, Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat bahawa istilah ta’dib merupakan istilah yang dianggap tepat dalam memaknai erti pendidikan Islam. Al-Attas mengatakan bahwa adabun ialah disiplin yang menegaskan pengenalan dan pengakuan tempat yang tepat hubungannya dengan kemampuan dan potensi jasmaniah, intelektual dan ruhaniah; pengenalan dan pengakuan akan kenyataan bahwa ilmu dan wujud ditata secara hierarki sesuai dengan tingkat dan darjatnya. Dalam adab akan tercermin keadilan dan kearifan (hikmah). Adab juga meliputi kehidupan material dan spiritual. Seterusnya penekanan adab mencakupi amal dan ilmu sehingga menggabungkan ilmu dan amal serta adab secara harmoni lalu ketiga-tiganya menjadi komponen pendidikan. Menurut al-Attas seperti yang dinyatakannya didalam Risalah Untuk Kaum Muslimin, adab adalah:
“Pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.” Pengenalan adalah ilmu; pengakuan adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu.” Keduanya sia-sia kerana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan.”
Al-Attas turut memperkuat pendapatnya ini dengan mengutip hadith Nabi Muhammad SAW: أدبنى ربى فاحسن تأديبي yang bererti “Tuhanku telah mendidikku, dan dengan demikian menjadikan pendidikanku yang terbaik. Al-Attas ternyata memahami pendidikan sebagai suatu upaya untuk membentuk manusia agar kenal dan mengakui akan kewujudan Tuhan dalam hidupnya sehingga ia menjadi hamba yang taat dengan segenap potensi jasmaniah, akal, dan rohaniahnya. Justeru, guru sebagai pendidik perlu memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan pemikiran dan kehidupan pelajar bukannya hanya setakat mengajar atau mengupas kandungan teks didalam kelas. Guru perlu membimbing pelajar dengan memberi teladan yang baik disamping menggilap potensi rohani dan jasmani yang ada didalam diri pelajar. Hanya dengan menjadi manusia yang beradab maka barulah seseorang manusia itu tahu akan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
Salam hormat
Pengerusi

Tuesday, January 5, 2010

Persekolahan 2010 bermula

Alhamdulillah, sesi persekolahan yang bermula pada 4 Januari 2010 berjalan dengan lancar. Sambutan yang diberikan oleh ibubapa berdasarkan kepada pendaftaran kemasukan amat-amat menggalakkan. Walaupun hujan renyai-renyai turun pada awal pagi namun para ibubapa tidak putus-putus datang ke MAPTAM untuk mendaftar dan melihat anak-anak mereka memulakan sesi pengajian tahun ini. Awal tahun ini barisan tenaga pengajar MAPTAM diperkasakan dengan tiga orang tenaga pengajar baru. Tenaga pengajar yang dimaksudkan ialah Ustaz Mohd Sukri, Ustazah Nabila dan Ustazah Hidayah. Ketiga-tiga tenaga pengajar ini mempunyai keahlian masing-masing di dalam bidang sirah, al-Quran dan Hadith. Dengan sambutan yang amat menggalakkan ini disamping kemasukan tenaga pengajar baru, pengurusan MAPTAM berharap MAPTAM akan terus menjadi wadah tempat menyalur dan membekal ilmu kepada masyarakat setempat dan menjadi institusi pengajian pilihan dikalangan ibubapa dan anak-anak dimasa-masa akan datang, Insyallah. Akhir kata, saya mewakili barisan pengurusan MAPTAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada para ibubapa yang telah memberikan sokongan dan dokongan padu kepada MAPTAM. Mudah-mudahan usaha kita semua sentiasa diberkati dan dirahmati Allah Ta'ala.
Salam Hormat
Pengerusi MAPTAM

Pelajar tadika dengan ragam mereka di hari pertama persekolahan


Telatah pelajar tadika sentiasa menghiburkan para guru dan ibubapa yang memerhatikan gelagat anak mereka dari luar kelas

Pelajar KAFA dalam sesi pengenalan diri


Sarapan pagi pelajar tadika