Sunday, January 31, 2010

Peranan Guru dalam Kehidupan - Dari Meja Pengerusi



Tugas guru bukan setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mendidik bererti tugas guru itu tidak hanya terbatas pada pembelajaran didalam kelas, tetapi juga mencakupi seluruh kehidupan pelajar. Sebab itu tanggungjawab guru ini sangat berat. Bukan semua orang boleh memikul tanggungjawab ini tetapi percayalah bahawa sesiapa yang memegang jawatan ini, ia sebenarnya merupakan insan yang terpilih. Manakan tidak, dari tangannyalah akan lahir generasi masa hadapan yang bakal menjadi ulama besar, pemimpin, doktor, jurutera dan sebagainya. Justeru tugas guru ini menuntut pengorbanan yang sangat besar kerana di bahu pundaknya terbeban satu tanggungjawab yang sangat berat iaitu mendidik anak bangsa dan seterusnya menentukan hala tuju masa depan mereka. Peranan guru pada hari ini sangat mencabar. Kesibukan ibubapa dengan pekerjaan masing-masing menyebabkan anak-anak lebih banyak menghabiskan masa dengan gurunya. Atas sebab itu, guru berperanan menjadi pembimbing kepada para pelajar atau secara tidak langsung menjadi ‘ibubapa kedua’ kepada para pelajar. Guru perlu sentiasa berada dekat pelajar, menyelami isi hati mereka dan pada masa yang sama perlu bijak menangani emosi mereka. Adakalanya, pelajar lebih suka meluahkan perasaan kepada gurunya berbanding kepada ibubapanya kerana mereka lebih banyak menghabiskan masanya berada di sekolah berbanding di rumah. Maka guru menjadi pendengar yang setia kepada anak didiknya. Setiap permasalahan perlu ditangani sebaik mungkin. Selain prestasi pelajar, guru turut bertanggungjawab mengembangkan potensi dalaman pelajar. Ini termasuklah pengembangan akhlak, sahsiah dan bakat. Jadi seperti yang disebut tadi, peranan guru ini amatlah besar dan sesungguhnya guru merupakan satu pekerjaan yang sangat mulia. Oleh itu, peganglah jawatan ini sebaik-baiknya, terimalah jawatan ini sebagai satu anugerah yang perlu disemat didalam diri bukannya satu bebanan yang menggugah diri.
Salam hormat
Pengerusi MAPTAM

No comments:

Post a Comment