Monday, June 14, 2010

Ringkasan Riwayat Hidup Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Turkestan dan wafat pada tahun (256) Hijrah, pada malam Sabtu, malam Hari Raya Aidilfitri di Khartank tidak jauh dari Samarkand. Beliau wafat ketika berusia 62 tahun. Bapanya meninggal dunia semasa ia masih kecil. Beliau kemudiannya dibesarkan oleh ibunya. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban apa sahaja untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau. Semenjak usia kecil lagi, nilai intelek Imam al-Bukhari telah terserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 buah hadith Rasulullah s.a.w. Ketika berumur 16 tahun, Imam al-Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam al-Bukhari sangat gembira berada di Makkah sehinggakan dia memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan para cendekiawan di Makkah. Pada usia 18 tahun, Imam al-Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan selepas itu buku sejarah bertajuk "Al-Tarikh-al-Kabir". Imam al-Bukhari amat meminati sejarah dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadith Rasulullah. Imam al-Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan lain-lain tempat untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam al-Bukhari selalu bertemu dan berbincang dengan gurunya iaitu Imam Ahmad Hanbal, pengasas fahaman (mazhab) Hanbali.
Dalam kembara ilmunya, Imam al-Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk tujuan pengumpulan hadith Rasulullah s.a.w.. Imam al-Bukhari merakamkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dalam kitab terulungnya yang berjudul "Al-Jami-al-Sahih”. Imam al-Bukhari membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadith sebelum memilih 7,525 buah hadith untuk dimuatkan dalam kitab tersebut yang menurutnya menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.


Laluan ke makam Imam al-Bukhari

Makam Imam al-Bukhari

1 comment: