Pada suatu hari ummahatul mu’minin, Ummu Salamah, menerima khabar bahawa pembantu wanitanya telah melahirkan seorang putera yang sangat sihat. Bukan main gembiranya hati Ummu Salamah mendengar berita tersebut. Diutusnya seseorang untuk mengundang bekas pembantunya itu untuk menghabiskan masa pantangnya selepas bersalinnya dirumahnya.Ibu muda yang baru melahirkan tersebut bernama Khairoh, orang yang amat disayangi oleh Ummu Salamah. Ummahatul mu’minin sudah tidak sabar-sabar lagi hendak melihat putera maulanya itu. Ketika Khairoh dan puteranya tiba, Ummu Salamah memandang bayi yang masih merah itu dengan penuh sukacita dan kasih-sayang. Sungguh bayi ini sangat menawan. “Sudahkah kau beri nama bayi ini, ya Khairoh?” tanya Ummu Salamah. “Belum ya ibunda. Kami serahkan kepada ibunda untuk menamainya” jawab Khairoh. Mendengar jawapan itu, wajah ummahatul mu’minin berseri-seri sambil berkata, “Dengan berkah Allah, kita namakannya Al-Hasan.” Maka selesailah pemberian nama diiringi dengan doa memohon kesejahteraan dari Allah swt. Al-Hasan bin Yasar - atau kemudiannya lebih dikenali sebagai Hasan al-Basri adalah merupakan ulama generasi salaf terkemuka yang hidup di bawah asuhan dan didikan salah seorang isteri Rasulullah SAW iaitu Hind binti Suhail yang lebih terkenal sebagai Ummu Salamah. Beliau adalah seorang puteri Arab yang paling sempurna akhlaqnya dan paling kuat pendiriannya malah dikenal orang sebagai sebagai penulis yang produktif dizaman sebelum Islam. Para ahli sejarah mencatat beliau sebagai yang paling luas ilmunya di antara para isteri Rasulullah saw. Hasan al-Basri membesar dalam lingkungan keluarga Nabi saw dengan meneguk ilmu dari rumah ummahatul mu’minin serta mendapat kesempatan menimba ilmu bersama sahabat yang berada di masjid Nabawiy.Dengan menempatkan dirinya dikelompok sahabat-sahabat besar, dalam waktu singkat Al-Hasan mampu meriwayatkan hadith dari Usman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Abu Musa Al-Asyari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik dan sahabat-sahabat Rasulullah lainnya. Al-Hasan sangat mengagumi Ali bin Abi Thalib kerana keluasan ilmunya serta kezuhudan peribadinya. Penguasan ilmu sastera Ali bin Abi Thalib yang demikian tinggi, kata-katanya yang penuh nasihat dan hikmah, membuat Al-Hasan begitu terpesona. Pada usia 14 tahun, Al-Hasan berpindah bersama orang tuanya ke kota Basrah, Iraq, dan menetap di sana. Di Basrahlah Al-Hasan mulai dikenali orang dengan sebutan Hasan Al-Basri. Basrah kala itu terkenal sebagai kota ilmu dalam Daulah Islamiyyah. Masjid-masjid yang luas dan cantik dipenuhi halaqah-halaqah ilmu. Para sahabat dan tabiin banyak yang singgah di kota ini. Di Basrah, Hasan al-Basri lebih banyak tinggal di masjid, mengikuti halaqah seorang sahabat besar iaitu Ibnu Abbas. Dari Ibnu Abbas, Hasan al-Basri banyak belajar ilmu tafsir, hadith dan qiraat. Sedangkan ilmu fiqh, bahasa dan sastera dipelajarinya dari sahabat-sahabat yang lain. Ketekunannya mengejar dan menggali ilmu menjadikan Hasan al-Basri sangat alim dalam pelbagai ilmu. Ia terkenal sebagai seorang faqih yang sangat dipercayai dan diyakini ilmunya. Keluasan dan kedalaman ilmunya membuat Hasan Al-Basri banyak didatangi orang yang ingin belajar langsung kepadanya. Nasihat Hasan Al-Basri mampu menggoyah hati seseorang, bahkan mudah membuat para pendengarnya mencucurkan air mata. Nama Hasan Al-Basri makin harum dan terkenal, tersebar ke seluruh negeri dan sampai pula ke telinga penguasa. Ketika Al-Hajjaj as-Saqafi memegang kuasa sebagai gabenor Iraq, beliau sering menindas penduduk Iraq. Hampir semua penduduk takut kepadanya. Hasan al-Basri pula sebaliknya dengan lantang mengkritik kepimpinan Al-Hajjaj. Bahkan di depan Al-Hajjaj sendiri, Hasan al-Basri pernah melontarkan kritikan-kritikannya yang amat pedas. Pada ketika al-Hajjaj hendak merasmikan istananya di kota Basrah, tampillah Hasan al-Basri menyuarakan kritiknya terhadap Al-Hajjaj:“Kita telah melihat istana yang dibangun oleh Al-Hajjaj. Kita juga telah mengetahui bahawa Firaun membangunkan istana yang lebih indah dan lebih megah dari istana ini. Tetapi Allah menghancurkan istana itu kerana kedurhakaan dan kesombongannya”. Beberapa orang mulai cemas dan berbisik kepada Hasan Al-Basri, “Ya Abu Said[1], cukuplah kritikmu, cukuplah!” Namun beliau menjawab, “Sungguh Allah telah mengambil janji dari orang-orang yang berilmu, supaya menerangkan kebenaran kepada manusia dan tidak menyembunyikannya.” Setelah mendengar kritik tajam tersebut, Al-Hajjaj mengherdik pembantunya, “Celakalah kalian! Mengapa kalian membiarkan budak dari Basrah itu mencaci maki aku sewenang-wenangnya? Dan tak seorangpun dari kalian mencegahnya? Tangkap dia dan hadapkan kepadaku!”
Semua mata tertumpu kepada Hasan al-Basri dengan hati berdebar. Hasan al-Basri berdiri tegak dan tenang menghadapi Al-Hajjaj bersama puluhan pegawainya. Sungguh luar biasa ketenangan beliau. Melihat ketenangan Hasan al-Basri, seketika kemarahan Al-Hajjaj menjadi luluh. Kesombongan dan kebengisannya hilang. Ia langsung menyambut Hasan al-Basri dan berkata lembut, “Kemarilah ya Abu Said.” Al-Hasan mendekatinya dan duduk berdampingan. Semua mata memandang dengan kagum. Mulailah Al-Hajjaj menanyakan berbagai-bagai masalah agama kepada Hasan al-Basri, dan dijawab oleh Hasan Al-Basri dengan bahasa yang lembut dan mempesona. Semua pertanyaannya dijawab dengan tepat. Hasan Al-Basri lalu diizinkan pulang. Selesai pertemuan itu, seorang pengawal Al-Hajjaj bertanya, “Wahai Abu Said, aku melihat engkau ada mengucapkan sesuatu ketika berhadapan dengan Al-Hajjaj tadi. Apakah sesungguhnya kalimat yang engkau baca itu?” Hasan Al-Basri menjawab, “Pada saat itu aku membaca, Ya Wali dan Pelindung-Ku dalam kesusahan. Jadikanlah hukuman Hajjaj sejuk dan keselamatan buatku, sebagaimana Engkau telah jadikan api sejuk dan menyelamatkan Ibrahim.”
Selain al-Hajjaj yang menjadi lembut apabila melihat ketenangannya, Hasan al-Basri juga memberi nasihat yang sangat berguna kepada seorang penguasa Iraq. Nasihatnya yang terkenal itu diucapkannya ketika beliau diundang oleh penguasa Iraq, Ibnu Hubairoh, yang dilantik oleh Yazid bin Abdul Malik. Ibnu Hubairoh adalah seorang yang jujur dan sholeh, namun hatinya selalu gundah menghadapi perintah-perintah Yazid yang bertentangan dengan hati nuraninya. Beliau berkata, “Allah telah memberi kekuasan kepada Yazid atas hambanya dan mewajibkan kita untuk mentaatinya. Ia sekarang menugaskan saya untuk memerintah Iraq dan Parsi, namun kadang-kadang perintahnya bertentangan dengan kebenaran. Ya, Abu Said apa pendapatmu? Nasihatilah aku!”
Berkata Hasan Al-Basri, “Wahai Ibnu Hubairoh, takutlah kepada Allah ketika engkau mentaati Yazid dan jangan takut kepada Yazid ketika engkau mentaati Allah. Ketahuilah, Allah membelamu dari Yazid, dan Yazid tidak mampu membelamu dari seksa Allah. Wahai Ibnu Hubairoh, jika engkau mentaati Allah, Allah akan memeliharamu dari seksaan Yazid di dunia, akan tetapi jika engkau mentaati Yazid, ia tidak akan memeliharamu dari seksa Allah di dunia dan akhirat. Ketahuilah, tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah walau siapapun orang itu.” Berderai air mata Ibnu Hubairoh mendengar nasihat Hasan Al-Basri yang sangat mendalam itu.
Pada malam Jumaat, di awal Rajab tahun 110H, Hasan Al-Basri menyahut panggilan Ilahi. Beliau wafat dalam usia 80 tahun. Dihari kewafatannya penduduk Basrah bersedih dan hampir seluruh penghuni Basrah menghantarkan jenazahnya ke kawasan pemakaman.
[1] Panggilan terhadap Hasan al-Basri

No comments:
Post a Comment