Tajuk diatas bunyinya berat tetapi saya akan membicarakannya seringkas yang mungkin. Ianya ada kaitan dengan panggilan telefon yang saya terima beberapa hari yang lepas. Kata pemanggil itu, beliau berhajat hendak menyekolahkan anaknya di tadika yang dikelola oleh saya. Lalu saya kata baguslah begitu dan bertanya bila nak hantar. Katanya, kemungkinan besar tahun depan. Lalu dia bertanya kepada saya, ada tak kelas disebelah petang. Saya jawab, kelas untuk tadika semuanya sebelah pagi dan saya bertanya kembali, apa alasannya untuk menghantar anaknya disebelah petang. Pemanggil ini menjawab dengan menyatakan bahawa dia mahu menghantar anaknya di sebelah petang kerana di sebelah pagi, anaknya mengikuti pengajian di tadika lain. Senang cerita pengajian yang berkonsepkan modul Barat. Lalu dia meminta saya menyediakan kelas sebelah petang. Siap dicadangkan pula kepada saya supaya dikumpulkan mana-mana pelajar tadika lain yang mahu bersekolah petang. Saya menyatakan bahawa saya tidak pasti samada akan diadakan atau tidak, ianya bergantung pada sambutan kelak. Selepas panggilan itu, saya terfikir sejenak. Dalam benak hati ini, saya tertanya-tanya adakah masyarakat sekarang faham dan dapat membezakan yang mana ilmu alat dan yang mana ilmu agama? Adakah masyarakat sekarang faham yang mana yang perlu diutamakan samada ilmu alat yang perlu didahulu atau ilmu agama yang perlu didahulu? Dan yang peliknya, kenapa pengajian agama pula yang diletakkan sebagai pilihan kedua dan perlu berkompromi misalnya dengan mengwujudkan pula kelas disebelah petang semata-mata bagi memberi laluan kepada pelajar untuk bersekolah di tadika disebelah pagi yang menggunakan modul Barat? Bagi saya, tujuan ilmu adalah jelas. Ulama besar seperti Imam al-Ghazali meletakkan bahawa ilmu yang wajib dipelajari terlebih dahulu ialah ilmu agama. Begitu juga dalam kebanyakan kitab pengajian yang tersebar di Alam Melayu yang meletakkan bahawa ilmu agama itu adalah ilmu fardu ain yang wajib dipelajari terlebih dahulu.
Salam hormat
Pengerusi MAPTAM
No comments:
Post a Comment