Sunday, August 22, 2010

Ramadhan

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”

Wednesday, August 4, 2010

Ahlan Ya Ramadhan

Marilah sama-sama kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

"عَنْ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ (ص) أَنَّهُ قَالَ: مَنْ فَرِحَ بِدُخُوْلِ رَمَضَانَ حَرَّمَ اللهُ جَسَدَهُ عَلَى النِّيْرَانِ."

Maksudnya : "Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka".

(Hadis riwayat Ahmad)

Sunday, July 25, 2010

Kepentingan menunaikan solat

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran. Disebabkan begitu besarnya peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
" إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ "انْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ. "
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.”
(Sunan Tirmizi)



Gambar hiasan: Pelajar Madrasah sedang menunaikan solat secara berjemaah

Tuesday, July 13, 2010

Menghayati Isra' dan Mi'raj





Rujukan

Khutbah Multimedia: Menghayati Isra' dan Mi'raj pada 29 Rajab 1429 bersamaan dengan 1 Ogos 2008. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Sambutan Isra' dan Mi'raj

Pada 9 Julai 2010 bersamaan 26 Rajab 1431 yang lepas, MAPTAM telah mengadakan majlis sambutan Isra' dan Mi'raj bertempat di bangunan sekolah madrasah sendiri. Majlis diadakan di sebelah pagi dan petang. Pengisian majlis adalah berbentuk bacaan salawat dan pengkisahan perjalanan Isra' dan Mi'raj Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Untuk sesi sebelah pagi, selingan berbentuk kuiz turut diadakan bagi menguji kefahaman pelajar.

Tuesday, June 29, 2010

Perpustakaan

Alhamdulillah, akhirnya MAPTAM berjaya mewujudkan sebuah perpustakaan mini untuk keperluan warga MAPTAM. Sebagai permulaan, sebanyak 135 buah buku telah disediakan untuk kegunaan warga MAPTAM. Buku-buku tersebut terdiri dari kategori sirah, do'a, sains, tokoh ilmuwan Islam dan bacaan-bacaan ringan yang sesuai untuk pelajar pra-sekolah dan sekolah rendah. Insyallah, bilangan buku dari pelbagai kategori akan ditambah dari masa ke semasa bergantung kepada peruntukan yang ada. Satu masa dahulu, umat Islam berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu kerana pada ketika itu umat Islam memiliki perpustakaan yang hebat. Di zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid (Bani Abbasiyah), sebuah perpustakan besar yang dikenali dengan nama Baitul Hikmah telah didirikan. Pembinaan perpustakaan ini kemudiannya disempurnakan oleh puteranya, Al-Makmun pada abad keempat Hijrah. Baitul Hikmah berfungsi bukan sahaja berfungsi sebagai perpustakaan yang menyimpan pelbagai jenis buku tetapi juga sebagai balai ilmu. Di situlah para sarjana sering berkumpul untuk menterjemah dan berdiskusi masalah ilmiah. Hasil kerja sarjana Parsi dan Greek dalam pelbagai bidang ilmu seperti astrologi, matematik, pertanian, perubatan dan falsafah telah diterjemah di Baitul Hikmah. Begitulah besarnya peranan perpustakaan kepada umat Islam satu masa dahulu.

Ruangan buku untuk pelajar pra-sekolah

Ruangan buku untuk pelajar sekolah rendah

Monday, June 14, 2010

Ringkasan Riwayat Hidup Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Turkestan dan wafat pada tahun (256) Hijrah, pada malam Sabtu, malam Hari Raya Aidilfitri di Khartank tidak jauh dari Samarkand. Beliau wafat ketika berusia 62 tahun. Bapanya meninggal dunia semasa ia masih kecil. Beliau kemudiannya dibesarkan oleh ibunya. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban apa sahaja untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau. Semenjak usia kecil lagi, nilai intelek Imam al-Bukhari telah terserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 buah hadith Rasulullah s.a.w. Ketika berumur 16 tahun, Imam al-Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam al-Bukhari sangat gembira berada di Makkah sehinggakan dia memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan para cendekiawan di Makkah. Pada usia 18 tahun, Imam al-Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan selepas itu buku sejarah bertajuk "Al-Tarikh-al-Kabir". Imam al-Bukhari amat meminati sejarah dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadith Rasulullah. Imam al-Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan lain-lain tempat untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam al-Bukhari selalu bertemu dan berbincang dengan gurunya iaitu Imam Ahmad Hanbal, pengasas fahaman (mazhab) Hanbali.
Dalam kembara ilmunya, Imam al-Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk tujuan pengumpulan hadith Rasulullah s.a.w.. Imam al-Bukhari merakamkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dalam kitab terulungnya yang berjudul "Al-Jami-al-Sahih”. Imam al-Bukhari membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadith sebelum memilih 7,525 buah hadith untuk dimuatkan dalam kitab tersebut yang menurutnya menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.


Laluan ke makam Imam al-Bukhari

Makam Imam al-Bukhari