Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Monday, June 14, 2010

Ringkasan Riwayat Hidup Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Turkestan dan wafat pada tahun (256) Hijrah, pada malam Sabtu, malam Hari Raya Aidilfitri di Khartank tidak jauh dari Samarkand. Beliau wafat ketika berusia 62 tahun. Bapanya meninggal dunia semasa ia masih kecil. Beliau kemudiannya dibesarkan oleh ibunya. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban apa sahaja untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau. Semenjak usia kecil lagi, nilai intelek Imam al-Bukhari telah terserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 buah hadith Rasulullah s.a.w. Ketika berumur 16 tahun, Imam al-Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam al-Bukhari sangat gembira berada di Makkah sehinggakan dia memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan para cendekiawan di Makkah. Pada usia 18 tahun, Imam al-Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan selepas itu buku sejarah bertajuk "Al-Tarikh-al-Kabir". Imam al-Bukhari amat meminati sejarah dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadith Rasulullah. Imam al-Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan lain-lain tempat untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam al-Bukhari selalu bertemu dan berbincang dengan gurunya iaitu Imam Ahmad Hanbal, pengasas fahaman (mazhab) Hanbali.
Dalam kembara ilmunya, Imam al-Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk tujuan pengumpulan hadith Rasulullah s.a.w.. Imam al-Bukhari merakamkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dalam kitab terulungnya yang berjudul "Al-Jami-al-Sahih”. Imam al-Bukhari membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadith sebelum memilih 7,525 buah hadith untuk dimuatkan dalam kitab tersebut yang menurutnya menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.


Laluan ke makam Imam al-Bukhari

Makam Imam al-Bukhari

Monday, December 28, 2009

Kisah 7 - Sayyidah Nafisah r.anha berketurunan Rasulullah saw

Bumi Mesir diberi kelebihan oleh Allah dengan bersemadinya sekalian ramai jasad Ahlul Bait. Antara mereka ialah Sayyidah Nafisah r.anha. Nama Sayyidah Nafisah tidak asing lagi bagi umat Islam di Mesir ini. Masjid beliau yang terletak berhampiran Kubu Salahudin Al-Ayubi, Kaherah menjadi saksi betapa kasihnya umat Islam kepada beliau apatah lagi tanggal 9 Jamadilakhir setiap tahun, sekalian umat Islam akan berkumpul di perkarangan masjid beliau bagi merayakan maulid beliau.
Berdekatan masjid beliau, juga terdapat beberapa maqam Ahlul Bait Nabi dan ulamak yang lain antaranya Sayyidah Sukainah binti Saidina Husein, Sayyidah Ruqayah binti Saidina Ali, bapa saudaranya Sayyid Muhammad Al-Anwar dan pengarang kitab "Tafsir Mimpi" Imam Ibnu Sirin.
Keturunan Mulia
Sayyidah Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai “Ummul ‘Ulum” (ibu sekalian ilmu). Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah s.a.w. “Nafisah” diambil dari kalimah "an-nafasah" yang bermaksud kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu. Beliau sangat menyerupai emak saudara sebelah bapanya yang bernama Sayyidah Sukainah al-Kubra binti Zaid r.anhum.
Ayahandanya Sayyid Hasan al-Anwar diberi gelaran “al-Anwar” iaitu yang bercahaya kerana keadaan mukanya yang kelihatan bercahaya kesan daripada kuat ibadat yang ikhlas kepada Allah. Beliau dilantik oleh Khalifah Jaafar al-Mansur sebagai gabenor Madinah al-Munawarah tahun 150 hijrah. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Mekah tanggal 11 Rabiul Awal tahun 145 hijrah. Beliau dibesarkan di Madinah kerana ayahandanya seorang gabenor. Sejak kecil, beliau lebih suka membaca al-Quran, selawat ke atas Nabi di samping gemar menziarahi maqam Nabi. Hingga satu masa, setelah usia Sayyidah Nafisah mencecah beberapa tahun, ayahandanya telah membawa beliau menuju ke bilik yang bersemadi jasad Rasulullah s.a.w. Lalu ayahandanya berkata, "Ya Rasulullah! Redhailah anak perempuan aku yang aku namakan Nafisah ini." Lalu satu malam ayahandanya bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda, "Wahai Hasan!Sesungguhnya aku telah meredhai anakmu yang juga zuriatku, Nafisah dan Allah Taala juga meredhainya dengan sebab redha aku kepadanya".
Perkahwinan
Sayyidah Nafisah berkahwin dengan sepupu beliau yang berketurunan Saidina Husein, Sayyidi Ishaq al-Mu'taman bin Saidina Jaafar As-Sodiq bin Saidina Muhammad al-Baqir bin Saidina Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali menantu Rasulullah s.a.w. Suaminya digelar sebagai "al-Mu'taman" kerana beliau seorang yang sangat amanah dan kuat imannya. Beliau merupakan saudara kandung kepada Sayyidah Aisyah (bukan Aisyah isteri Rasulullah s.a.w) iaitu anak kepada Saidina Jaafar as-Sodiq. Sayyidah Aisyah juga disemadikan dalam masjidnya di Hayyu Al-Khalifah dekat dengan Kubu Salahudin Al-Ayubi di Kaherah. Tatkala Sayyid Hasan Al-Anwar meninggalkan jawatan gabenor Madinah, ia diganti oleh menantunya Sayyid Ishaq Al-Mu'taman sebagai gabenor bagi khilafah Abbasiyah. Beliau diakad nikah pada hari Jumaat 5 Rejab tahun 161 hijrah dan telah dikurniakan dua cahaya mata bernama Qasim dan Ummu Kalthum.
Ibadat Sayyidah Nafisah
Sayyidah Nafisah sangat gemar membaca al-Quran, kuat berpuasa di siang hari, solat pada malamnya, amat kasihan belas kepada orang miskin, anak-anak yatim dan manusia sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga anak saudaranya, beliau berkata, “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku (sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun. Aku tidak pernah lagi melihat Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa) kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya, “Wahai emak saudaraku!Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata, “Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan dihadapanku azab Allah sedang menanti. Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali orang-orang yang berjaya.”
Sayyidah Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah “Tuhan ku!Penciptaku!Penolongku!Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding (hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku!Permudahkanlah aku menziarahi kubur kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Mekah)”.
Pada hari yang kesepuluh akhir Ramadhan tahun 193 hijrah Sayyidah Nafisah bermusafir ke Mesir bersama suami, ayah dan kedua-dua anaknya yang ketika itu umur beliau mencecah 48 tahun kerana bertujuan menziarahi ahli keluarga Rasulullah s.a.w yang lain di Mesir. Setelah menziarahi Mekah dan Baitulmaqdis, mereka tiba di Mesir dengan disambut meriah oleh sekalian penduduk Mesir termasuk sekalian pembesar negara ketika itu. Kebanyakan mereka menjemput Sayyidah Nafisah ke rumah. Hinggalah beliau tiba di rumah Ummu Hani’, satu keajaiban telah berlaku apabila Allah s.w.t telah memuliakan hamba-Nya itu dengan disembuhkan kecacatan seorang budak perempuan Yahudi dengan keberkatan air wuduk Sayyidah Nafisah yang menyebabkan keluarga budak tadi memeluk Islam. Sejak itu,berduyun-duyun manusia menziarahi Sayyidah Nafisah meminta doa dengan pelbagai hajat hingga suaminya bercita-cita untuk kembali ke Madinah. Lalu Sayyidah Nafisah berkata, “Aku tidak boleh berbuat demikian kerana aku melihat Rasululah s.a.w dalam mimpi bersabda,“Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mematikan kamu di sana”.
Kasihnya beliau kepada Mesir dan penduduknya amatlah tinggi. Beliau pernah berkata, “Sesungguhnya aku amat menyayangi penduduk Mesir. Aku bercita-cita untuk dikuburkan di sini. Allah memuliakan Mesir dengan menyebutnya dalam al-Quran sebagaimana disebutnya Mekah.” (rujuk kitab Ad-Durr An-Nafisah oleh Syeikh Ramadhan Abdu Rabbuhu Asfur r.anhu).
Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie
Imam Syafi’e r.anhu, Imam mazhab Feqah yang masyhur sempat hidup sezaman dengan Sayyidah Nafisah. Sayyidah Nafisah menjalani kehidupan di Mesir selama 15 tahun iaitu dari 26 Ramadhan tahun 193 hijrah hingga 15 Ramadhan tahun 208 hijrah. Imam Syafi’e amat kerap menziarahi beliau. Ini sebagai tanda mulia dan kasihnya Imam Syafi’e kepada ahli keluarga Nabi. Selain ziarah, Imam Syafi’e juga turut mendengar bacaan hadis daripada Sayyidah Nafisah dan beliau juga membaca hadith kepada Sayyidah Nafisah. Beliau juga kerap menunaikan solat terawih di masjid Sayyidah Nafisah dan apabila Imam Syafi’e ditimpa sakit beliau pasti akan menghantar seorang utusan bertemu Sayyidah Nafisah dan mengirim salam bertujuan menggantikannya menziarahi Sayyidah Nafisah. Beliau pasti meminta Sayyidah Nafisah mendoakan kesihatan untuk beliau. Hingga satu hari beliau ditimpa sakit yang membawa kepada kewafatan beliau, seperti biasa seorang utusan diutus bertemu Sayyidah Nafisah dan kali ini Sayyidah Nafisah berdoa, “Semoga Allah memberikan kepadanya (Imam Syafi’e) sebaik-baik pertemuan dan memberikan kenikmatan dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Maka utusan itu kembali dan memberi tahu apa yang didengar kepada Imam Syafi’e lalu beliau tahulah bahawa ajalnya bakal tiba tidak lama lagi. Lalu Imam Syafi’e berwasiat agar Sayyidah Nafisah menyembahyangkan jenazahnya lalu wafatlah Imam Syafi’e pada hari Khamis, akhir bulan Rejab tahun 204 hijrah.
Apabila mendengar berita kewafatan Imam Syafi’e dengan penuh kesedihan, Sayyidah Nafisah berdoa,” Semoga Allah merahmatinya,dan adalah dia seorang yang memperelok wuduk”. Ini adalah sebagai penyaksian Sayyidah Nafisah kerana wuduk adalah asas melakukan ibadat. Apabila cantik asasnya maka cantiklah ibadat yang dibina padanya seolah-olah beliau berkata, “Imam Syafi’e itu elok pada ijtihadnya.” Tatkala terasa kesakitan yang menimpa amatlah kuat hingga memisahkannya dari dunia,Sayyidah Nafisah mula menggalikan kubur dalam biliknya. Pada saat-saat akhir usianya,beliau sering turun dan beribadat dalam liang lahad tersebut dengan banyak bersembahyang sunat dan membaca al-Quran. Berkata Al-Allamah Al-Ajhauri, “Adalah Sayyidah Nafisah membaca al-Quran dan mengkhatamnya dalam kuburnya sebanyak 6,000 kali dan beliau menghadiahkan pahalanya kepada sekalian umat Islam yang telah meninggal dunia.”
Menghembus Nafas Terakhir
Kesakitan yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 hijrah dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata, “Pelik sungguh. Aku berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka?”.
Kesakitan yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan. Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127 daripada Surah al-An’am yang bermaksud, “Bagi mereka itu (orang-orang yang merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.” Ketika selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap Allah.
Disemadikan Di Mesir
Setelah kewafatan Sayyidah Nafisah,suaminya Ishaq al-Mu’taman telah bercadang untuk membawa kembali jasad Sayyidah Nafisah ke Madinah untuk dikebumikan bersama-sama ahli keluarganya yang lain. Tetapi,penduduk Mesir telah membantah dan meminta agar Sayyidah Nafisah disemadikan di Mesir dalam kubur yang digali dengan tangan beliau sendiri. Setelah cubaan memujuk keluarganya menemui jalan buntu, sekalian penduduk Mesir telah mengadu kepada Ubaidillah bin as-Sura, gabenor Mesir ketika itu agar dapat menangani masalah ini dengan baik. Dikatakan sekalian penduduk Mesir telah mengumpulkan sekalian harta bagi diberikan kepada keluarga Sayyidah Nafisah agar hasrat untuk mengembalikan Sayyidah Nafisah ke Madinah dibatalkan. Pada malamnya,suaminya telah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan Baginda bersabda kepada Ishaq,” Wahai Ishaq! Kembalikan harta manusia (penduduk Mesir) kepada mereka dan semadikan Nafisah di sisi mereka kerana rahmat diturunkan kepada mereka dengan berkat Nafisah.” Keesokannya, Sayyid Ishaq telah memaklumkan mimpinya kepada penduduk Mesir. Dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah, jasad Sayyidah Nafisah disepurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid padanya yang dinamakan “Masjid Sayyidah Nafisah”. Setelah itu,suaminya bersama dua lagi anaknya kembali ke Madinah dan meninggal dunia di sana. Semoga Allah meredhai sekalian Ahli Bait Rasulullah s.a.w. dan menghimpunkan kita sekalian bersama-sama meraka di bawah panji datuk mereka dan pemberi syafaat kita,Nabi Muhammad s.a.w. Amin.
(Petikan daripada kitab Hadhratus Sayyidah Nafisah r.anha tulisan Syeikh Muhammad Muntasar Ahmad Hamid Al-Helwani)

Tuesday, August 18, 2009

Kisah 6 - Ummu Fadhl menghukum Abu Lahab

NAMA sebenar beliau ialah Lulabah binti al-Harits dan mendapat gelaran Lulabah al-Kubra. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Fadhl yang membawa makna ibu Fadhl.

Ummu Fadhl memeluk agama Islam sebelum hijrah. Beliau merupakan wanita pertama selepas Khadijah bin Khuwailid memeluk agama Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Abdullah, anak yang berbunyi: "Saya dan ibu saya adalah termasuk orang yang tertindas dari wanita dan kanak-kanak". Suami beliau ialah Abbas bin Abu Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad.

Abbas tidak mengisytiharkan keislamannya sehingga pada tahun pembebasan Kota Mekah. Abu Rafi, hamba nabi Muhammad menyatakan: "Saya pernah menjadi pelayan bagi Abbas bin Abu Mutalib. Ketika Islam datang maka Abbas memeluk agama Islam lalu diikuti oleh Ummu Fadhl dan saya juga memeluk agama Islam. Hanya Abbas merahsiakan keislamannya".

Ummu Fadhl telah melahirkan enam orang anak lelaki yang bijaksana dan mulia. Mereka adalah Fadhl, Abdullah, Ubaidullah, Mabad, Qatsam dan Abdul Rahman.

Abdullah merupakan seorang imam ilmu tafsir tersohor sehingga mendapat gelaran lautan kerana memiliki ilmu yang sangat luas dan kemuliaannya.

Kebijaksanaan Abdullah merupakan salah satu anugerah dari Allah kepada Ummu Fadhl. Kenikmatan Allah atas hambanya sangat luas dan paling sempurna adalah kebijaksanaan anak.

Ummu Fadhl dan Ummu Aiman telah diberi penghormatan untuk memandikan jenazah Khadijah oleh nabi. Ketika nabi berhijrah ke Madinah, Ummu Fadhl dan suaminya menetap di kota Mekah tetapi mengikuti perkembangan nabi di kota Madinah.

Ummu Fadhl telah mendapat kemuliaan untuk memukul dan membunuh Abu Lahab (musuh orang Islam) selepas Perang Badar.

Abu Lahab tidak dapat berjuang dalam Perang Badar dan mewakilkan dirinya kepada Ash bin Hisham. Ini adalah adat orang Quraisy yang akan mewakilkan kepada orang lain jika mereka tak dapat menyertai sesuatu peperangan. Abu Lahab menunggu dengan penuh debaran.

Ummu Fadhl duduk memerhatikan hambanya, Abu Rafi sedang memahat sesuatu pada batuan di sekitar telaga zamzam. Mereka berdua berasa gembira mendengar kemenangan pihak Islam ke atas pihak kafir Quraisy Mekah.

Abu Lahab yang mendapat berita kekalahan pihak kafir Quraisy berlari ke arah Abu Suffian bin Harith yang baru pulang dari Perang Badar.

"Abu Suffian sudah pulang dari Badar. Mari kita tanya apa yang telah berlaku di Badar?," kata orang-orang Mekah yang mula mengerumuninya.

"Wahai sepupu, ceritakanlah kepada kami peperangan Badar yang telah kau sertai," kata Abu Lahab kepada Abu Suffian.

"Ketika pasukan kita hendak bertempur dengan pihak Muhammad, tiba-tiba mereka menyerang tanpa henti ke arah pasukan kita. Mereka bertempur sesuka hati dan menawan kami sesuka hati.

"Kemudian saya menghimpun semula pasukan untuk menyerang mereka, tiba-tiba kami melihat ada sekelompok lelaki yang berkuda hitam putih berada di tengah-tengah manusia. Mereka tidak menginjakkan kaki ke tanah," cerita Abu Suffian dengan bersungguh-sungguh.

"Itu adalah malaikat", sampuk Abu Rafi sambil mengangkat batu dengan tangannya.

"Apa kata kamu?," Abu Lahab mengepalkan tangannya lalu memukul Abu Rafi dengan kuat.

Abu Lahab tidak suka Abu Rafi menyampuk cerita Abu Suffian itu. Dia memandang hina pada Abu Rafi yang hanya merupakan seorang hamba. Hatinya yang marah sudah tidak terkawal sehingga Abu Lahab menarik tubuh Abu Rafi lalu memukulnya berulang kali di atas tanah.

Ummu Fadhl yang tengah duduk terkejut melihat sikap Abu Lahab yang sudah melampaui batas. Beliau mendekati salah sebuah tiang khemah tempat Abu Suffian tengah duduk lalu mengambil dengan tangannya. Ummu Fadhl memukul Abu Lahab dengan pukulan keras tepat pada kepada Abu Lahab sehingga luka.

"Aduh sakitnya! Berhenti pukul saya," Abu Lahab menjerit kesakitan sambil memegang bahagian kepalanya yang mula berdarah.

"Berani kamu menyeksa hamba saya ketika tuannya tiada!," tengking Ummu Fadhl lalu meminta Abu Rafi bangun dan beredar dari kawasan itu.

Abu Lahab bangun lalu berdiri dan memalingkan muka dari Ummu Fadhl dengan perasaan malu. Nyawa Abu Lahab tidak panjang selepas kejadian itu. Allah telah menimpakan penyakit bisul kepada Abu Lahab yang menyebabkan kematiannya.

Keberanian Ummu Fadhl terhadap musuh Allah seperti Abu Lahab sehingga jatuhnya kehormatan diri dan kesombongannya harus menjadi teladan kepada peribadi wanita Islam.

Ummu Fadhl selalu dimuliakan oleh nabi dan mempunyai kedudukan tinggi di kalangan wanita Islam pada zaman itu kerana memiliki sifat peribadi dan akhlak yang baik.

Ummu Fadhl adalah wanita yang beriman, bertakwa, rajin berpuasa dan ikhlas hatinya.

Pada suatu hari Ummu Fadhl menceritakan mimpinya kepada nabi yang sering mengunjungi dan tidur siang di rumahnya. Nabi mendengar kata-kata Ummu Fadhl tentang mimpinya sebelum memberitahu apa maknanya.

"Ya Rasulullah saya bermimpi seperti salah satu daripada anggota tubuh kamu berada di rumah saya".

"Bagus mimpi kamu. Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki nanti. Anak itu akan kamu susukan bersama dengan anak kamu, Qatsam," kata nabi tentang mimpi Ummu Fadhl.

Ummu Fadhl berasa gembira dengan apa yang dikatakan oleh nabi dan menceritakan kepada keluarganya tentang perkara itu. Tidak berapa kemudian, Fatimah melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Hasan yang kemudian diasuh oleh Ummu Fadhl.

Dia meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.

Dipetik dari Ruang Bicara Agama, Utusan Malaysia, 18 Ogos 2009. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Tuesday, August 4, 2009

Kisah 5 - Umar Abdul Aziz - Khalifah Adil, Zuhud dan Warak

Khalifah Umar bin Abdul Aziz menghafaz al-Quran sejak usianya masih kecil lagi. Beliau merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir. Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik yang juga merupakan sepupunya. Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya, sahabat besar Nabi Muhammad saw iaitu Saidina Umar b Al-Khattab. Khalifah Umar bin Abdul Aziz amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan. Beliau dilantik menjadi Khalifah setelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat sepupunya tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan kesejahteraan, keadilan dan kesatuan umat Islam. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan. Beliau amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah Umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjemaah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Beliau turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW. Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendekiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya mudah dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam bagi menarik lebih ramai orang bukan Islam memeluk Islam. Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. Tempoh tersebut sebenarnya terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah menjadi semakin kuat, tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat.Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini.Dalam tempoh 852 hari, tokoh besar ini dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluhuran budi, keperibadiannya yang mulia, kewarakan dan karamahnya. Di antaranya ialah:
1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata: "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata: "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata: "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi: "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya"
4) Qais bin Jabir berkata: "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
5) Hassan al-Qishab telah berkata:"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
6) Umar b Asid telah berkata:"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai:"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
7) 'Atha' telah berkata: "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."
Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
Tahun Lahir : 61H
Umur : 39 tahun
Tarikh Wafat : 101H
Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : 2 tahun 5 bulan

Monday, August 3, 2009

Kisah 4 - Imam Asy-Shafi'i dan perkara maksiat yang menghalang penerimaan ilmu

Ilmu adalah cahaya yang dilontarkan oleh Allah di dalam hati manusia, sementara maksiat akan memadamkan cahaya tersebut. Pada suatu masa ketika Imam As-Syafi'i duduk serta membaca di hadapan Imam Malik, Imam Malik berasa kagum melihat kebijaksanaan, kecerdikan dan kefahaman yang terdapat pada Imam Asy-Syafi'i. Beliau pun berkata; “Sesungguhnya aku telah melihat Allah melontarkan ke dalam hati kamu cahaya, maka janganlah kamu memadamnya dengan kegelapan maksiat”. Imam Asy-Syafi'i pernah berkata;Aku telah mengadu kepada Waki’[1] tentang kelemahan hafalanku, lalu beliau menasihatku agar meninggalkan maksiat. Katanya; ketahuilah bahawa ilmu itu adalah kurniaan, kurniaan itu tidak diberikan kepada pelaku maksiat.

[1] Nama lengkapnya ialah Waki’ bin al-Jarrah. Seorang tabi’in dan merupakan guru kepada Imam asy-Syafi’i.

Wednesday, July 1, 2009

Kisah 3 - Zun Nun al-Misri, Tokoh Sufi abad ke-3 Hijrah

Nama penuh sufi besar ini ialah Abu Faidh Zun Nun al-Misri. Beliau hidup pada abad ke-3 Hijrah. Beliau berasal dari Naubah yang terletak diantara Sudan dan Mesir. Beliau membuang segala kemegahan dunia dan sentiasa meletakkan dirinya diatas garis panduan yang ditentukan dalam kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw. Beliau pernah berkata, “Tanda cinta kepada Tuhan ialah dengan menuruti jejak Saiyyidina Nabi Muhammad saw”. Zun Nun meninggal dunia di Giza pada tahun 245 Hijrah. Jenzahnya terpaksa dibawa dengan sampan kerana terlalu ramai yang mengiringi beliau sehingga dikhuatiri jambatan akan runtuh. Diriwayatkan orang ramai yang mengiringi jenazah Zun Nun dapat melihat bagaimana burung-burung hijau mengibarkan sayap diatas jenazahnya hinggalah ke liang lahad. Jenazahnya lalu dikebumikan di satu kawasan yang bernama Basatin. Terdapat banyak kisah-kisah menarik tentang tokoh sufi besar ini. Salah satunya ialah kisah dibawah,
Pada satu hari, ada seorang pemuda mendatangi Zun Nun dan bertanya kepadanya: "Tuan, saya tidak mengerti kenapa orang seperti tuan mesti berpakaian seperti begini, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman sekarang berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan tetapi juga untuk kehidupan lain."
Sang sufi hanya tersenyum, lalu ia melepaskan cincin dari salah satu jarinya, dan berkata : "Sahabat muda, akan kujawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah kamu jualnya dengan harga satu keping emas".
Melihat cincin Zun Nun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu-ragu dan tidak yakin lalu berkata : "Satu keping emas? Saya tidak yakin cincin ini dapat dijual dengan harga sedemikian". "Cubalah dulu sahabat muda. Mana tahu kamu berjaya", jawab Zun Nun.
Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tidak ada seorang pun yang berani membelinya dengan harga satu keping emas. Mereka menawarnya dengan harga satu keping perak.
Tentu saja pemuda itu tidak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia pun kembali berjumpa Zun Nun dan memberitahunya: "Tuan, tidak ada seorang pun yang berani membelinya dengan harga tidak lebih dari satu keping perak".
Sambil tersenyum Zun Nun berkata : "Sekarang pergilah kamu ke kedai emas di belakang jalan ini. Tunjukkan cincin ini kepada pemilik kedai atau tukang emas disit. Jangan tetapkan harga. Dengarkan saja, bagaimana ia membuat penilaian".
Pemuda itu pun pergi ke kedai emas yang dimaksudkan. Ia kembali kepada Zun Nun dengan raut wajah yang berlainan. Pemuda itu memberitahu Zun Nun : "Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu menilai cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi dari yang ditawar oleh para pedagang di pasar".
Zun Nun tersenyum simpul sambil berkata : "Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat muda. Seseorang tidak boleh dinilai dari pakaiannya. Hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian. Namun tidak bagi "pedagang emas". Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihatnya sehingga ke lubuk jiwa. Untuk melihat ke lubuk jiwa, ia memerlukan masa dan kearifan, wahai sahabat mudaku. Kita tidak dapat menilainya dengan hanya melihat sepintas lalu atau mendengar kata-kata orang. Adakalanya yang disangka emas itu dalam diri kita itu sebenarnya loyang yang tidak berguna dan adakalanya loyang yang disangka tidak berguna sebenarnya emas di mata orang lain."


Tuesday, June 30, 2009

Kisah 2 - Uwais al-Qarni, Penghuni Langit

Pada zaman Nabi Muhammad saw, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, bidang dadanya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan, kulitnya kemerah-merahan, wajahnya selalu melihat pada tempat sujudnya dan tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya. Pemuda ini tidak pernah lalai dari membaca al-Quran dan sentiasa menangis. Pakaiannya hanya dua helai sahaja, sudah terlalu lusuh untuk dipakai sehinggakan tidak ada orang yang menghiraukannya. Beliau tidak dikenal oleh penduduk bumi akan tetapi sangat terkenal di langit. Pemuda ini, jika bersumpah demi Allah pasti terkabul. Dia adalah Uwais al-Qarni. Beliau tidak dikenali dan miskin malah banyak orang yang suka mentertawakannya, mengejek-ejeknya, dan menuduhnya sebagai pencuris erta bermacam lagi penghinaan dilemparkan kepadanya.Pemuda dari Yaman ini telah lama menjadi yatim, tidak mempunyai saudara mara kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh. Untuk menyara kehidupan sehari-hari, Uwais bekerja sebagai penggembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk menyara kehidupan harian bersama ibunya.Jika ada wang lebihan, beliau akan membantu jiran tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti keadaannya. Walaupun dalam keadaan serba payah, beliau tidak pernah lalai dalam mengerjakan ibadahnya, sedikit pun tidak berkurang. Sepanjang hidupnya, beliau melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya. Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa negeri Yaman mendengar seruan Nabi Muhammad saw yang telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalam agama Islam sangat menarik hati Uwais dan apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, beliau segera memeluknya Banyak rakan-rakannya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengar secara langsung dakwah Nabi Muhammad saw. Hati Uwais juga meronta-ronta untuk ke Madinah bertemu kekasih Allah, penghulu para Nabi tetapi beliau tidak mampu kerana tidak mempunyai bekalan yang cukup untuk sampai kesana. Apatah lagi beliau perlu menjaga ibunya. Jika beliau pergi, siapa pula yang akan melihat ibunya.Dikisahkan ketika terjadi perang Uhud, Rasulullah saw mengalami kecederaan dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Berita ini akhirnya sampai kepada Uwais. Lalu ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada baginda saw, sekalipun beliau belum pernah melihat Rasulullah saw. Hari berganti hari dan musim pun berlalu, kerinduannya terhadap Rasulullah tak dapat dibendung lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, bilakah agaknya baru dirinya dapat menziarahi Nabi saw dan memandang wajah beliau dari dekat? Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan pergi menziarahi Nabi saw di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau memahami perasaan Uwais, dan berkata,Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi dirumahnya. Dan bila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang.
Dengan perasaan gembira yang amat sangat, Uwais berkemas untuk berangkat dan sebelum pergi, beliau menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran tetangganya agar dapat menemani ibunya sepanjang pemergian beliau. Sesudah mencium tangan ibunya yang tercinta, berangkatlah Uwais menuju ke Madinah yang jaraknya sekitar empat ratus kilometer dari Yaman. Dengan laluan yang sangat mencabar akhirnya tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segeralah ia menuju ke rumah Nabi saw, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah Sayyidatina Aisyah r.a., sambil menjawab salam Uwais. Segera saja Uwais menanyakan Nabi saw yang ingin ditemuinya. Namun ternyata baginda saw tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi saw dari medan perang. Tapi, beliau teringat akan pesan ibunya sudah tua dan sentiasa dalam keadaan tidak sihat itu, agar ia cepat pulang ke Yaman, Engkau harus lekas pulang. Disebabkan ketaatan kepada ibunya, pesanan ibunya itu telah mengalahkan suara hati untuk menunggu Nabi saw. Ia akhirnya memohon kepada Sayyidatina Aisyah r.a. untuk pulang semula ke Yaman. Uwais lalu menitipkan salamnya kepada Nabi saw dan melangkah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat bertemu dengan Kekasih Allah.
Sepulangnya dari perang, Nabi saw langsung bertanya tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad saw menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Beliau adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit). Mendengar perkataan baginda Rasulullah saw, Sayyidatina Aisyah r.a. dan para sahabatnya terpegun seketika. Lalu kata Sayyidatina Aisyah r.a., memang benar sebelum ini ada seseorang telah datang mencari Rasulullah saw tetapi orang itu segera pulang ke Yaman, kerana teringat akan ibunya yang sudah tua dan sakit sehinggakan beliau bimbang meninggalkan ibunya terlalu lama. Rasulullah saw bersabda : Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah bahawa ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya. Sesudah itu baginda saw, memandang kepada Sayyidina Ali k.w. dan Sayyidina Umar r.a. lalu bersabda: Apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya kerana dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi.
Tahun berganti tahun dan Umar r.a menjadi khalifah kedua menggantikan Abu Bakar As-Siddiq yang telah wafat. Abu Bakar dipilih menjadi khalifah selepas Rasulullah saw wafat. Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi saw tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan sahabatnya, Sayyidina Ali k.w. untuk mencari Uwais bersama. Sejak itu, setiap kali ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua akan bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Diantara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang dicari oleh kedua-dua sahabat besar itu. Rombongan kafilah dari Yaman menuju ke Syam silih berganti membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, bersegeralah khalifah Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w. mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka. Rombongan itu mengatakan bahwa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, mereka berdua bergegas menemui Uwais al-Qarni. Sesampainya di tempat Uwais, Khalifah Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w. memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman. Sewaktu berjabatan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada ditelapak tangan Uwais, sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi saw. Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut, Siapakah nama saudara ? Lalu jawab Uwais, Abdullah. Mendengar jawaban itu, kedua sahabat itupun tertawa dan mengatakan : Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya ? Uwais kemudian berkata: Nama saya Uwais al-Qarni. Sepanjang perkenalan mereka, tahulah mereka bahawa ibu Uwais telah meninggal dunia. Itulah sebabnya, beliau baru dapat turut serta bersama rombongan kafilah dagang itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali k.w. memohon agar Uwais berkenan mendoâkan untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah: Sayalah yang harus meminta doa dari kalian. Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata: Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar dari tuan. Disebabkan didesak oleh dua sahabat besar ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua belah tangannya lalu berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu Khalifah Umar r.a. berjanji untuk memberinya wang negara dari Baitul Mal kepada Uwaissebagai sara hidupnya. Terus sahaja Uwais menolaknya dengan lembut dengan berkata: Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak langsung terdengar beritanya. Tapi diriwayatkan ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh Uwais. Kata orang itu, waktu itu kami sedang berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama para pedagang, tanpa disangka-sangka angin ribut bertiup dengan kencang. Akibatnya hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang lelaki yang mengenakan selimut berbulu di berada di satu sudut kapal lalu kami memanggilnya. Lelaki itu bangun lalu melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu. Wahai waliyullah, Tolonglah kami! Tetapi lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi, Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami! Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata: Apa yang terjadi? Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dibadai ribut dan dihentam ombak ?tanya kami. Dekatkanlah diri kalian pada Allah ! katanya. Kami telah melakukannya. Keluarlah kalian dari kapal dengan membaca bismillahirrohmaanirrohiim!  Kami pun keluar dari kapal satu persatu dan berkumpul di dekat itu. Pada saat itu jumlah kami lima ratus jiwa lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami yang lain tenggelam ke dasar laut bersama isinya. Lalu orang itu berkata pada kami , Tidak mengapalah harta kalian menjadi korban asalkan kalian semua selamat. Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan ? Tanya kami. Uwais al-Qarni. Jawabnya dengan singkat. Kemudian kami berkata lagi kepadanya, Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir. Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?  tanya Uwais. Ya,jawab kami. Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Sebaik sahaja Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menaikinya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah sehingga tidak ada satupun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiarlah khabar bahawa Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia hendak dimandikan tiba-tiba terlalu banyak orang yang berebut hendak memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikapan, begitu ramai orang yang menunggu untuk mengkapannya. Demikian pula ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut hendak mengusungnya. Meninggalnya Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan penduduk Yaman. Sedemikian banyaknya orang yang tak dikenali datang untuk mengurus jenazah dan pemakamannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang langsung tidak dihiraukan orang. Sejak ia dimandikan sampailah ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, ada sahaja orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka tertanya-tanya: Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni ? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa, yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala kambing dan unta? Tetapi, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahui siapa Uwais al-Qarniyang ternyata tidak terkenal di bumi tapi terkenal di langit.

Kisah 1 - Imam Hasan al-Basri

Pada suatu hari ummahatul mu’minin, Ummu Salamah, menerima khabar bahawa pembantu wanitanya telah melahirkan seorang putera yang sangat sihat. Bukan main gembiranya hati Ummu Salamah mendengar berita tersebut. Diutusnya seseorang untuk mengundang bekas pembantunya itu untuk menghabiskan masa pantangnya selepas bersalinnya dirumahnya.Ibu muda yang baru melahirkan tersebut bernama Khairoh, orang yang amat disayangi oleh Ummu Salamah. Ummahatul mu’minin sudah tidak sabar-sabar lagi hendak melihat putera maulanya itu. Ketika Khairoh dan puteranya tiba, Ummu Salamah memandang bayi yang masih merah itu dengan penuh sukacita dan kasih-sayang. Sungguh bayi ini sangat menawan. “Sudahkah kau beri nama bayi ini, ya Khairoh?” tanya Ummu Salamah. “Belum ya ibunda. Kami serahkan kepada ibunda untuk menamainya” jawab Khairoh. Mendengar jawapan itu, wajah ummahatul mu’minin berseri-seri sambil berkata, “Dengan berkah Allah, kita namakannya Al-Hasan.” Maka selesailah pemberian nama diiringi dengan doa memohon kesejahteraan dari Allah swt. Al-Hasan bin Yasar - atau kemudiannya lebih dikenali sebagai Hasan al-Basri adalah merupakan ulama generasi salaf terkemuka yang hidup di bawah asuhan dan didikan salah seorang isteri Rasulullah SAW iaitu Hind binti Suhail yang lebih terkenal sebagai Ummu Salamah. Beliau adalah seorang puteri Arab yang paling sempurna akhlaqnya dan paling kuat pendiriannya malah dikenal orang sebagai sebagai penulis yang produktif dizaman sebelum Islam. Para ahli sejarah mencatat beliau sebagai yang paling luas ilmunya di antara para isteri Rasulullah saw. Hasan al-Basri membesar dalam lingkungan keluarga Nabi saw dengan meneguk ilmu dari rumah ummahatul mu’minin serta mendapat kesempatan menimba ilmu bersama sahabat yang berada di masjid Nabawiy.Dengan menempatkan dirinya dikelompok sahabat-sahabat besar, dalam waktu singkat Al-Hasan mampu meriwayatkan hadith dari Usman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Abu Musa Al-Asyari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik dan sahabat-sahabat Rasulullah lainnya. Al-Hasan sangat mengagumi Ali bin Abi Thalib kerana keluasan ilmunya serta kezuhudan peribadinya. Penguasan ilmu sastera Ali bin Abi Thalib yang demikian tinggi, kata-katanya yang penuh nasihat dan hikmah, membuat Al-Hasan begitu terpesona. Pada usia 14 tahun, Al-Hasan berpindah bersama orang tuanya ke kota Basrah, Iraq, dan menetap di sana. Di Basrahlah Al-Hasan mulai dikenali orang dengan sebutan Hasan Al-Basri. Basrah kala itu terkenal sebagai kota ilmu dalam Daulah Islamiyyah. Masjid-masjid yang luas dan cantik dipenuhi halaqah-halaqah ilmu. Para sahabat dan tabiin banyak yang singgah di kota ini. Di Basrah, Hasan al-Basri lebih banyak tinggal di masjid, mengikuti halaqah seorang sahabat besar iaitu Ibnu Abbas. Dari Ibnu Abbas, Hasan al-Basri banyak belajar ilmu tafsir, hadith dan qiraat. Sedangkan ilmu fiqh, bahasa dan sastera dipelajarinya dari sahabat-sahabat yang lain. Ketekunannya mengejar dan menggali ilmu menjadikan Hasan al-Basri sangat alim dalam pelbagai ilmu. Ia terkenal sebagai seorang faqih yang sangat dipercayai dan diyakini ilmunya. Keluasan dan kedalaman ilmunya membuat Hasan Al-Basri banyak didatangi orang yang ingin belajar langsung kepadanya. Nasihat Hasan Al-Basri mampu menggoyah hati seseorang, bahkan mudah membuat para pendengarnya mencucurkan air mata. Nama Hasan Al-Basri makin harum dan terkenal, tersebar ke seluruh negeri dan sampai pula ke telinga penguasa. Ketika Al-Hajjaj as-Saqafi memegang kuasa sebagai gabenor Iraq, beliau sering menindas penduduk Iraq. Hampir semua penduduk takut kepadanya. Hasan al-Basri pula sebaliknya dengan lantang mengkritik kepimpinan Al-Hajjaj. Bahkan di depan Al-Hajjaj sendiri, Hasan al-Basri pernah melontarkan kritikan-kritikannya yang amat pedas. Pada ketika al-Hajjaj hendak merasmikan istananya di kota Basrah, tampillah Hasan al-Basri menyuarakan kritiknya terhadap Al-Hajjaj:“Kita telah melihat istana yang dibangun oleh Al-Hajjaj. Kita juga telah mengetahui bahawa Firaun membangunkan istana yang lebih indah dan lebih megah dari istana ini. Tetapi Allah menghancurkan istana itu kerana kedurhakaan dan kesombongannya”. Beberapa orang mulai cemas dan berbisik kepada Hasan Al-Basri, “Ya Abu Said[1], cukuplah kritikmu, cukuplah!” Namun beliau menjawab, “Sungguh Allah telah mengambil janji dari orang-orang yang berilmu, supaya menerangkan kebenaran kepada manusia dan tidak menyembunyikannya.” Setelah mendengar kritik tajam tersebut, Al-Hajjaj mengherdik pembantunya, “Celakalah kalian! Mengapa kalian membiarkan budak dari Basrah itu mencaci maki aku sewenang-wenangnya? Dan tak seorangpun dari kalian mencegahnya? Tangkap dia dan hadapkan kepadaku!”
Semua mata tertumpu kepada Hasan al-Basri dengan hati berdebar. Hasan al-Basri berdiri tegak dan tenang menghadapi Al-Hajjaj bersama puluhan pegawainya. Sungguh luar biasa ketenangan beliau. Melihat ketenangan Hasan al-Basri, seketika kemarahan Al-Hajjaj menjadi luluh. Kesombongan dan kebengisannya hilang. Ia langsung menyambut Hasan al-Basri dan berkata lembut, “Kemarilah ya Abu Said.” Al-Hasan mendekatinya dan duduk berdampingan. Semua mata memandang dengan kagum. Mulailah Al-Hajjaj menanyakan berbagai-bagai masalah agama kepada Hasan al-Basri, dan dijawab oleh Hasan Al-Basri dengan bahasa yang lembut dan mempesona. Semua pertanyaannya dijawab dengan tepat. Hasan Al-Basri lalu diizinkan pulang. Selesai pertemuan itu, seorang pengawal Al-Hajjaj bertanya, “Wahai Abu Said, aku melihat engkau ada mengucapkan sesuatu ketika berhadapan dengan Al-Hajjaj tadi. Apakah sesungguhnya kalimat yang engkau baca itu?” Hasan Al-Basri menjawab, “Pada saat itu aku membaca, Ya Wali dan Pelindung-Ku dalam kesusahan. Jadikanlah hukuman Hajjaj sejuk dan keselamatan buatku, sebagaimana Engkau telah jadikan api sejuk dan menyelamatkan Ibrahim.”
Selain al-Hajjaj yang menjadi lembut apabila melihat ketenangannya, Hasan al-Basri juga memberi nasihat yang sangat berguna kepada seorang penguasa Iraq. Nasihatnya yang terkenal itu diucapkannya ketika beliau diundang oleh penguasa Iraq, Ibnu Hubairoh, yang dilantik oleh Yazid bin Abdul Malik. Ibnu Hubairoh adalah seorang yang jujur dan sholeh, namun hatinya selalu gundah menghadapi perintah-perintah Yazid yang bertentangan dengan hati nuraninya. Beliau berkata, “Allah telah memberi kekuasan kepada Yazid atas hambanya dan mewajibkan kita untuk mentaatinya. Ia sekarang menugaskan saya untuk memerintah Iraq dan Parsi, namun kadang-kadang perintahnya bertentangan dengan kebenaran. Ya, Abu Said apa pendapatmu? Nasihatilah aku!”
Berkata Hasan Al-Basri, “Wahai Ibnu Hubairoh, takutlah kepada Allah ketika engkau mentaati Yazid dan jangan takut kepada Yazid ketika engkau mentaati Allah. Ketahuilah, Allah membelamu dari Yazid, dan Yazid tidak mampu membelamu dari seksa Allah. Wahai Ibnu Hubairoh, jika engkau mentaati Allah, Allah akan memeliharamu dari seksaan Yazid di dunia, akan tetapi jika engkau mentaati Yazid, ia tidak akan memeliharamu dari seksa Allah di dunia dan akhirat. Ketahuilah, tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah walau siapapun orang itu.” Berderai air mata Ibnu Hubairoh mendengar nasihat Hasan Al-Basri yang sangat mendalam itu.
Pada malam Jumaat, di awal Rajab tahun 110H, Hasan Al-Basri menyahut panggilan Ilahi. Beliau wafat dalam usia 80 tahun. Dihari kewafatannya penduduk Basrah bersedih dan hampir seluruh penghuni Basrah menghantarkan jenazahnya ke kawasan pemakaman.

[1] Panggilan terhadap Hasan al-Basri