Tuesday, May 25, 2010

Poin ucapan Pengerusi sempena sambutan Hari Guru 2010

1. Salawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah saw, Ahlul bait dan para Sahabat
2. Ucapan alu-aluan kepada guru, pelajar dan ibubapa
3. Anak-anak adalah satu anugerah.
a. Ibubapa kena jaga elok-elok anak-anak. Selagi belum lepas tanggungan, anak-anak adalah dibawah tanggungjawab ibubapa
b. Guru hanya dapat kawal anak masa sekolah sahaja
c. Anak-anak adalah harta yang sangat berharga.
d. Kita tidak mahu miskin di hari akhirat. Kita ‘kaya’ bila anak-anak yang soleh doakan untuk kita. Macam mana nak dapat anak yang soleh? Kena pastikan mereka dapat ilmu agama secukupnya.
4. Jahil ilmu agama menyebabkan seseorang tidak tahu meletakkan kedudukan Allah dan Rasul-Nya
a. Ada yang tergamak menyamakan Allah seperti makhluk dan Nabi Saw seperti manusia biasa sedangkan Nabi saw diutuskan wahyu dan mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang dikhususkan kepada baginda saw sahaja.
5. Sebab itu kita terapkan bacaan Asma-ul Husna, salawat, qasidah dan sirah untuk kukuhkan penghayatan dan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
a. Ingat, satu perkara yang menyampaikan kepada yang wajib maka hukumnya adalah wajib. Mencintai Allah dan Rasul-Nya hukumnya adalah wajib. Jadi bacaan asma-ul Husna, salawat, qasidah dan sirah hukumnya adalah wajib jika ia menambahkan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
b. Nabi saw pernah bersabda bahawa iman seseorang itu belum lagi sempurna hingga ia mencintai Nabi saw lebih dari ibubapanya sendiri, anak-anaknya dan semua manusia lainnya

6. Guru-guru disini adalah sangat istimewa. Tidak seperti guru-guru sekolah biasa. Ini adalah kerana guru-guru ini adalah juga guru-guru tuan-tuan. Sebab apa? Ilmu yang disampai pada anak tuan-tuan mungkin sampai kepada tuan-tuan. Ada anak-anak kita yang mengajar kita doa, qasidah atau hukum tajwid kepada tuan-tuan. Jadi guru ini adalah guru tuan-tuan. Justeru, ibubapa hendaklah memberi penghormatan yang selayaknya kepada guru-guru ini.
7. Perancangan MAPTAM
a. Kita akan teruskan usaha tanamkan jiwa anak-anak dengan salawat, qasidah dan sirah untuk pupuk kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Kalau boleh ibubapa juga ambil masa baca kitab-kitab tersebut kerana besar manfaatnya.
b. Yang kita tekankan bukan sahaja akademik pelajar tapi sahsiah dan akhlak.
c. Insyallah di masa akan datang, kita akan tambahkan prasarana sekolah, seperti perpustakaan dan kemudahan teknologi maklumat untuk kemudahan para pelajar. Para ibubapa yang berminat untuk memberi sumbangan kepada MAPTAM khususnya dalam pembelian buku, kitab dan peralatan madrasah bolehlah berbuat demikian samada secara tunai, cek, dimasukkan terus ke akaun madrasah (al-Rajhi Bank 12700-1080571961 atau CIMB 1232-0000-352100) atau membeli sendiri buku, kitab dan peralatan lalu disumbangkan kepada madrasah.
8. Akhir kata, sama-samalah kita memohon ke hadrat Allah semoga segala usaha kita ini mendapat keberkatan dan keredhaan dari-Nya.

Poin ucapan pengetua sempena Sambutan Hari Guru 2010

1. Salawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah saw, Ahlul bait dan para Sahabat.
2. Ucapan alu-aluan kepada guru, pelajar dan ibubapa
3. Sambutan Hari Guru tahun ini agak istimewa kerana kita menjemput ibubapa meraikannya bersama-sama. Tujuannya ialah untuk
a. Memupuk hubungan baik antara ibubapa dengan warga MAPTAM
b. Memberi makluman dan pendedahan kepada ibubapa tentang perjalanan MAPTAM
c. Memaklumkan sumbangan guru dan pencapaian MAPTAM selama ini

4. Pengenalan guru MAPTAM
a. Ustazah Nurulhidayati – Diploma Pengajian Islam – Mahir dalam bidang jawi
b. Ustazah Nabila – Ijazah Pengajian Islam – Pengkhususan dalam al-Quran
c. Ustazah Hidayah – Ijazah Pengajian Islam – Pengkhususan dalam Hadith
d. Ustazah Muslimah _ Ijazah Pengajian Islam – Pengkhususan dalam Fiqh
e. Ustazah Azilah – Ijazah Sumber Manusia dan Pengajian Islam – Berpengalaman dalam Sirah
f. Puan Zahidah – Pengalaman luas dalam pendidikan awal kanak-kanak

5. Kesemua guru kita adalah srikandi. Walaupun kita tidak mempunyai guru lelaki namun tenaga dan jiwa mereka semuanya sekeras lelaki dan berhati waja. Setakat ini, 17 orang guru telah berkhidmat disini dalam tempoh dua tahun. Kebanyakannya, berhenti disebabkan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi

6. Melalui tangan-tangan guru inilah, anak-anak tuan telah dicorakkan mengikut acuan MAPTAM yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi juga ketinggian akhlak.

7. Pencapaian MAPTAM
a. MAPTAM telah mengadakan bacaan salawat, qasidah dan sirah setiap hari. Tujuannya ialah untuk memupuk kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
b. MAPTAM telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul untuk memperingati hari keputeraan Junjungan Besar Baginda saw
c. MAPTAM telah mengikuti program KAMIL yang berlangsung di Bangi baru-baru ini.
d. MAPTAM mengadakan kelas tambahan untuk pelajar tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan PSRA tahun ini
e. MAPTAM mengadakan program hujung minggu untuk subjek-subjek tertentu seperti Bahasa Arab dan Jawi.
f. MAPTAM mengadakan kelas iqra disebelah malam

8. Pencapaian akan datang
a. Kita harapkan pelajar Tahun 6 mencatat kejayaan cemerlang dalam PSRA yang akan tiba tidak lama lagi.
b. Kita harapkan sokongan dan kerjasama ibubapa untuk memastikan agar anak-anak tidak ponteng kelas terutamanya Tahun Enam. Ini kerana kita tidak mahu hanya guru sahaja berdedikasi sedangkan pelajar malas dan sambil lewa.
c. Kita ada sediakan buku khulasah dan buku soalan peperiksaan. Harap ibubapa ambil berat dan beli buku ini untuk anak-anak (pelajar Tahun Enam)

9. Perancangan akan datang
a. MAPTAM akan menganjurkan program-program hujung minggu dan harian (apabila sekolah jadi satu sesi kelak). Kemungkinan ada diantara program-program ini dianjurkan secara percuma. Kita harapkan sokongan dari ibubapa untuk turut serta dalam program ini.
b. MAPTAM akan menganjurkan program-program intensif seperti Bahasa Arab dan sebagainya.
c. MAPTAM akan menganjurkan kursus-kursus yang bersifat kemahiran seperti Khat dan sebagainya.
d. MAPTAM akan anjurkan kursus-kursus atau program untuk muslimah khususnya untuk golongan ibu yang tidak bekerja atau yang berminat hendak menambah ilmu pengetahuan.

10. Perancangan jangka panjang
a. MAPTAM sebagai sekolah one-stop centre
Ada taska, tadika dan KAFA yang merangkumi sekolah harian dan sekolah rendah Islam
b. MAPTAM sebagai penyambung modul sekolah KAFA
MAPTAM berhasrat untuk menyambung modul pembelajaran KAFA sehingga ke peringkat Menengah Rendah (Tingkatan 1, 2 dan 3). Kita tidak mahu anak-anak apabila naik ke tingkatan menengah hilang arah, lupa tanggungawab untuk solat dan baca al-Quran dan sebagainya. Kita tidak mahu anak-anak habiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah, merempit, berpeleseran dan sebagainya.

11. Dengan program-program sebegini, kita harapkan ibubapa memberi sokongan dan jika boleh turut serta untuk memanfaatkan ilmu yang disampaikan dalam program tersebut.

12. Akhir kata, sukalah saya ingatkan bahawa ilmu agama sangat penting dan perlu ditanam dalam diri kita semua secara berterusan. Janganlah kita memandang remeh akan ilmu-ilmu agama dan manfaatkanlah setiap program yang dianjurkan.

Monday, May 24, 2010

Sambutan Hari Guru 2010

MAPTAM telah mengadakan sambutan Hari Guru pada pagi Sabtu yang lepas. Sambutan Hari Guru tahun ini agak istimewa kerana ibubapa dijemput bersama-sama untuk memeriahkan majlis sambutan tersebut. Tambah istimewa ialah sambutan pada tahun ini diadakan di dewan serbaguna yang baru sahaja siap dibina beberapa minggu sebelumnya. Dewan tersebut dibina untuk kemudahan para pelajar menunaikan soat secara berjemaah, membaca al-Quran dan juga mengikuti sesi perbincangan atau sesi kelas yang dikendalikan oleh guru-guru MAPTAM. Berbalik kepada sambutan Hari Guru, majlis sambutan pada pagi itu melibatkan ucapan pengetua dan pengerusi MAPTAM, persembahan para pelajar dan penyampaian sijil dan hadiah dalam kecemerlangan akademik dan sahsiah serta penyertaan dalam program KAMIL. Satu lagi sesi penting yang dimuatkan dalam jadual acara tahun ini ialah diskusi ibubapa dengan guru tentang pencapaian prestasi pelajar. Majlis yang bermula sekitar 8.00 pagi itu berakhir lebih kurang jam 12.00 tengah hari. Sambutan ibubapa dalam majlis ini sangat menggalakkan dan diharapkan ibubapa akan terus memberi sokongan kepada majlis-majlis yang dianjurkan oleh MAPTAM di masa akan datang.



Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan doa oleh salah seorang pelajar MAPTAM

Kali ini guru-guru MAPTAM 'bersara' dari mengacarakan majlis. Pelajar tampil ke depan menunjukkan bakat untuk menjadi pengacara. Lagipun hari itu adalah hari guru, maka elok jugalah para guru 'berehat' dan di'hibur'kan dengan melihat bakat-bakat anak-anak didik masing-masing

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran

Qari MAPTAM pada hari itu pernah menyertai program KAMIL dalam acara tilawah yang diadakan di Bangi baru-baru ini

Kumpulan nasyid MAPTAM yang pernah menyertai program KAMIL memperlihatkan bakat masing-masing

Persembahan pelajar Tadika bermula sejurus selepas ucapan pengetua dan pengerusi MAPTAM. Ketika persembahan bermula, hujan turun dengan lebat

Persembahan pelajar Tahun 1

Persembahan pelajar Tahun 2

Persembahan pelajar Tahun 3

Persembahan pelajar Tahun 5 dan 6

Wednesday, May 19, 2010

Peranan Guru

Sumber dari sini

Sambutan Hari Guru 2010

Salam sejahtera,
Madrasah Pra-Tahfiz al-Mansoorah (MAPTAM) akan mengadakan sambutan Hari Guru pada 22 Mei 2010 di perkarangan sekolah bermula dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 pagi. Pihak MAPTAM menjemput para ibubapa agar dapat bersama-sama hadir di dalam majlis ini.

Salam Hormat

Pentadbir MAPTAM

Monday, May 3, 2010

Ucapan Pengetua pada perhimpunan 4 Mei 2010

Salawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah saw, ahlul bait dan para sahabat. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Ta’ala kerana telah menghimpunkan kita semua pada hari ini dan memberi kesihatan serta semangat untuk memulakan aktiviti kita bermula dari awal pagi ini. Kita baru sahaja melepasi cabaran getir iaitu pertandingan KAMIL beberapa hari lalu. Setelah bertungkus-lumus membuat latihan selama beberapa minggu, Alhamdulillah kita telah berjaya melaluinya. Alhamdulillah, pada tahun ini kita telah berjaya berjaya mendapat satu pingat berbanding dengan penyertaan sulung kita tahun lepas dimana kita tidak membawa pulang apa-apa pingat. Sebagai sekolah kecil berbanding dengan sekolah-sekolah lain, sebutir pingat yang kita menangi walaupun tempat ketiga adalah sangat bermakna. Sekurang-kurangnya, pingat ini menjadi pembakar semangat kepada kita untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang. Kejayaan adik Fakhrul dalam acara azan dan iqamah adalah sesuatu yang membanggakan pihak madrasah. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lain yang turut menyertai pertandingan. Walaupun tidak memenangi apa-apa hadiah namun pelajar-pelajar ini telah membanggakan pihak sekolah. Bertanding dengan sekolah-sekolah lain yang jauh lebih hebat dan mempunyai pengalaman yang luas adalah satu pengalaman yang sangat berguna. Mereka dapat melihat bagaimana pelajar-pelajar dari sekolah lain membuat persembahan. Rata-rata pelajar yang bertanding berusaha memberikan persembahan yang terbaik dan menarik. Dalam pertandingan ini, pelajar dan guru mendapat ‘hadiah’ yang paling berguna. Hadiah yang dimaksudkan ialah komitmen. Kejayaan tidak datang menggolek dalam masa yang singkat. Kejayaan tidak datang dengan usaha sambil lewa. Kejayaan tidak datang tanpa semangat berpasukan yang mantap. Kejayaan tidak datang tanpa keyakinan yang jitu. Kejayaan memerlukan komitmen, kerjasama, keyakinan, tumpuan dan paling penting ialah pengorbanan. Dalam pertandingan yang lepas, kita dapat lihat bagaimana sekolah yang mencipta kejuaraan memperlihatkan keseungguhan yang luarbiasa. Mereka membuat persediaan yang rapi, peralatan yang lengkap, persembahan yang menarik dan paling penting mendapat sokongan dari guru-guru mereka. Sekolah-sekolah yang berjaya dalam pertandingan tersebut tidak mencipta kejayaan dalam masa setahun atau dua tahun tetapi dalam tempoh yang panjang. Dengan gaya persembahan yang sebegitu mantap, mana mungkin mereka berlatih dalam tempoh yang singkat. Dalam hal ini bimbingan guru juga sangat penting. Guru perlu memberi tunjuk ajar yang sewajarnya agar pelajar dapat menghayati dan memahami apa yang perlu dilakukan. Itulah tanggungjawab sebagai seorang guru. Bagi saya, inilah hadiah yang sebenar. Hadiah yang berupa contoh teladan dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan dimasa akan datang. Dalam pelajaran juga begitu. Untuk berjaya dalam pelajaran, pelajar perlu berusaha bersungguh-sungguh. Seperti yang saya nyatakan tadi, kejayaan tidak dibina dalam masa sehari tetapi dalam tempoh yang panjang. Sebagaimana kita berusaha bersungguh dalam pertandingan maka begitulah juga kita perlu mengambil semangat yang sama untuk berjaya dalam pelajaran. Akhir kata, saya mengucapkan syabas kepada para pelajar dan guru yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang sangat bermakna ini. Mudah-mudahan kita akan dapat mencipta kejayaan yang lebih gemilang di masa akan datang.
Salam hormat
Pengetua MAPTAM

Tahniah

MAPTAM berjaya memenangi satu hadiah (tempat ketiga) untuk acara azan dan iqamah. Walaupun satu, ia tetap sangat bermakna bagi MAPTAM. Tahniah kepada Fakhrul! Mudah-mudahan kejayaan Fakhrul ini menyemarakkan lagi semangat warga MAPTAM untuk mencipta kejayaan di masa akan datang. Insyallah

Fakhrul bersama hadiah tempat ketiga yang dimenanginya untuk acara azan dan iqamah


Guru dan pelajar sedang bersiap-siap untuk pulang ke MAPTAM setelah selesai majlis