Thursday, April 22, 2010

Kepentingan Pendidikan Akhlak - Dari Meja Pengerusi

Secara umumnya ibubapa berasa teruja dan gembira apabila melihat kejayaan dan kecemerlangan anak-anak mereka di dalam peperiksan peringkat kebangsaan. Tetapi pada masa yang sama ibubapa juga turut berasa bimbang dengan kes-kes yang melibatkan masalah disiplin dan keruntuhan akhlak yang berlaku di kalangan pelajar. Ibubapa harus sedar dan faham bahawa kejayaan yang diraih oleh anak-anak dalam setiap peperiksaan yang dilalui tidak akan bermakna jika keruntuhan akhlak dan moral berlaku pada anak-anak. Apa gunanya kejayaan mengecap ‘straight A’ didalam peperiksaan tetapi pada masa yang sama berlaku kurang ajar pada ibubapa dan orang tua, tidak mensyukuri nikmat yang diberi Allah Ta’ala dan tergamak melakukan perbuatan maksiat dalam usia yang muda? Sebab itulah ibubapa perlu memastikan anak-anak diberi pendidikan yang seimbang, rohani dan jasmani. Selain dari ilmu alat seperti ilmu akademik, ibubapa sepatutnya melengkapkan diri anak-anak dengan ilmu agama yang perlu ditanam dalam diri anak-anak sejak dari usia kecil lagi. Hanya dengan cara inilah modal insan yang berkualiti dapat dilahirkan dimana mereka menjadi manusia yang berpekerti mulia, yang mempunyai hemah yang tinggi, yang berjiwa besar, cintakan Negara, mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani sesuai dengan tujuan penciptaan manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di bumi ini sebagaimana firman Allah:
"Tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
(Adz-Dzariyaat ayat 56)
Untuk peringkat asas, salah satu komponen penting dalam mata pelajaran pendidikan Islam ialah pendidikan akhlak.
Pendidikan akhlak ini sangat penting kerana ia
1. Membentuk semangat dan kecenderungan seseorang individu untuk melakukan kebaikan sehingga ia berusaha mewujudkan kebaikan untuk semua, berusaha menghindarkan tindakan yang jahat dan berupaya mencegah kejahatan dikalangan ahli masyarakat.
2. Membentuk semangat persaudaraan sesama manusia kerana pada asasnya manusia saling memerlukan antara satu dengan lain dalam menjalankan kehidupan. Ini bertepatan dengan maksud hadith Rasulullah s.a.w: "Tidak beriman sesorang muslim kecuali ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri"
3. Membentuk kesedaran terhadap kehidupan sosial. Jika anggota masyarakat diumpamakan sebagai anggota tubuh badan, maka akhlak adalah pengikat pelbagai anggota tersebut. Oleh yang demikian, jika individu tidak berakhlak, bererti pudarlah ikatan dan putuslah semua hubungan di antara anggota masyarakat. Ini boleh mengakibatkan kehancuran dalam struktur sosial masyarakat.
4. Membentuk keperibadian yang kuat dan jiwa yang kukuh dan meningkatkan keluhuran jiwa manusia serta menjauhkan mereka daripada kebinasaan kerana mengikut keinginan hawa nafsu.[1]
Justeru, adalah menjadi tanggugjawab kepada ibubapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama yang lengkap agar mereka tidak hanya bijak dalam pelajaran semata-mata tetapi juga mempunyai sahsiah dan budi pekerti yang baik. Ini bertepatan dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang terbaik akhlak dan budi pekerti" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Salam hormat
Pengerusi MAPTAM

[1] Rujuk Teks Khutbah Jumaat JAIS bertajuk Pendidikan Teras Perubahan Masyarakat. 3 Julai 2009. Boleh dicapai di http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=786&Itemid=1