Saturday, November 28, 2009

Hikmah Ibadah Korban

Ibadat korban mempunyai begitu banyak hikmah. Ia melambangkan kesediaan seorang hamba untuk berkorban demi Tuhan-Nya, seperti di dalam kisah kesediaan Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya, Nabi Isma’il a.s, demi menjunjung dan mentaati perintah Allah s.w.t.
Korban merupakan salah satu syiar agama yang harus ditegakkan. Pada masa yang sama, janganlah sampai kita pentingkan perbuatan yang zahir dan kita lupakan yang lebih utama, iaitu maksud dan tujuan sebalik amalan tersebut. Maksud dan tujuan ibadat ini adalah untuk melahirkan rasa pengorbanan kepada Allah s.w.t. sebagai tanda taqwa kita kepada-Nya.
Bacalah kisah pengorbanan anak-anak Nabi Adam a.s. Mereka melakukan amalan yang sama pada zahirnya, iaitu penyembelihan korban. Namun, satu diterima, manakala yang satu lagi ditolak Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ma’idah ayat 27:
Yang bermaksud: Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.
Inilah di antara maksud pengukuhan kerohanian yang Islam inginkan. Bahawa Islam mahukan kerohanian yang mendalam, dan menjadikan kita insan yang jujur lagi benar dalam hubungan dengan Allah s.w.t. Amalan kita mungkin serupa dengan apa yang dikerjakan oleh orang lain, samada solat, zakat atau sedekah, bacaan Al-Quran, haji dan sebagainya. Namun, penerimaan Allah s.w.t bagi setiap amalan berbeza. Di sini, penilaian Allah s.w.t. yang sebenarnya adalah pada niat dan keikhlasan kita. Maka latihlah diri kita untuk menjaga tujuan dan matlamat amalan, dan peliharalah ia dari dirosakkan.

Begitulah yang diingatkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. kepada kita di dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim:
Yang bermaksud: Dari Sayyidina Umar r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanya sanya setiap amalan bergantung pada niatnya. Dan bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya bagi Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah untuk keinginan dunia atau wanita yang ingin dinikahi, maka (balasan) hijrahnya kembali kepada tujuan sebenar hijrahnya.

Monday, November 23, 2009

Anjuran berpuasa pada hari Arafah

Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah.
Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Kelebihan Bulan Zulhijjah

Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda. Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.
Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.
Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.
Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).
Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
Dipetik dari http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=14&parent=06. Dicapai pada 24 November 2009

Monday, November 16, 2009

Program lawatan ke Muzium Kesenian Islam dan Planetarium Negara

Program ini dijalankan sehari selepas majlis penyampaian hadiah. Jadi dapatlah dibayangkan betapa kami agak sibuk pada minggu tersebut. Selesai sahaja majlis penyampaian hadiah, kami menyambung pula kerja-kerja persiapan untuk program lawatan yang akan dijalankan esoknya. Cuaca sangat baik pada hari lawatan tersebut. Para pelajar telah siap berkumpul seawal jam 7.30 pagi. Mereka benar-benar semangat hendak mengikuti lawatan. Ibubapa juga ada yang menunggu anak-anak mereka sementara bas rombongan belum sampai. Bas sampai sekitar jam 8.30 pagi. Bas yang ditempah ialah sebuah bas persiaran. Melihat kepada no plat pendaftarannya, ianya adalah sebuah bas yang baru. Kondisi dalamannya sangat selesa dan mempunyai ruang dalaman yang agak luas. Perancangan awal ialah hendak menggunakan bas sekolah tetapi harga sewanya terlalu mahal malah harga sewa bas persiaran jauh lebih murah dari bas sekolah. Kami kemudiannya memutuskan untuk menggunakan bas persiaran kerana selain harganya yang lebih murah, keadaan dalamannya juga jauh lebih selesa. Sekalung tahniah kepada Cikgu Zahidah yang telah berusaha mencari bas yang terbaik untuk program lawatan ini. Destinasi pertama ialah Muzium Kesenian Islam. Dari madrasah menuju ke muzium mengambil masa sekitar 40 minit. Perjalanan sangat lancar kerana tidak banyak kenderaan diatas jalan pada hari minggu. Kami turun dihadapan muzium kira-kira 20 minit lebih awal dari yang dijadualkan. Pelajar-pelajar berkumpul mengikut kumpulan masing-masing. Pada satu hujung yang lain dihadapan perkarangan muzium, kelihatan pelajar dari satu sekolah lain (rasanya sekolah KAFA juga berdasarkan kepada pakaian mereka) sudah bersiap-sedia hendak bergerak menuju ke muzium. Lebih kurang jam 10 pagi setelah selesai memberi sedikit penerangan kepada pelajar, kami bergerak menuju ke pintu utama muzium. Terdapat 12 galeri yang perlu dilawati sepanjang 2 jam berada di muzium tersebut. Masa terasa begitu singkat. Tengok-tengok jam dah pukul 12 tengah hari. Pelajar kemudiannya dibawa ke sebuah bilik aktiviti kanak-kanak. Disitu, pelajar boleh bermain, membaca buku dan melakukan pelbagai aktiviti indoor. Sambil melihat keletah mereka bermain dan membuat bermacam aktiviti, guru-guru secara bergilir membawa kumpulan masing-masing pergi ke kedai buku dan cenderamata yang terletak bersebelahan dengan bilik aktiviti tersebut. Ada yang membeli pen, mug dan buku. Saya pula sangat berkenan melihat barang-barang antik dan bersejarah seperti astro lab dan beberapa barang lain tetapi harganya sangat mahal. Melawat muzium meninggalkan kenangan manis buat kami kerana disinilah kami dapat melihat kehebatan tamadun Islam berdasarkan artifak yang dipamerkan disitu. Cuma yang agak mengecewakan ialah para pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar. Kata pegawai yang bertugas, peraturan di muzium agak ketat dimana pengunjung tidak dibenarkan langsung mengambil gambar bahan pameran. Alasan yang diberikan ialah bahan pameran tersebut adalah milik persendirian. Untuk dijadikan kenang-kenangan, cara terbaik ialah dengan membeli buku yang dikeluarkan sendiri oleh pihak muzium yang menghimpunkan pelbagai jenis artifak yang dipamerkan. Kebetulan pada hari kami mengadakan lawatan itu, satu pameran khas tentang perjalanan haji ke Makkah sedang berlangsung. Dapatlah kami melihat bahan-bahan pameran yang berkaitan dengannya. Kami keluar dari pintu utama sekitar jam 12.30 tengah hari. Bas sudah siap menunggu di tepi Masjid Negara. Kami menunaikan solat zohor di Masjid Negara dan selepas itu, menikmati hidangan tengahari dengan bekalan yang telah dibawa bersama. Lebih kurang jam 2.30 petang, kami menuju ke destinasi berikutnya iaitu Planetarium Negara. Ketika mula-mula sampai, pelawat tidaklah begitu ramai. Sebaik sahaja pelajar memasuki bilik tayangan video, barulah rombongan dari sekolah-sekolah lain sampai dan memenuhi setiap ruang pameran didalam planetarium. Saya sempat berbual-bual dengan pengawal keselamatan yang bertugas pada hari itu. Katanya, planetarium itu sedang dalam proses penaiktarafan. Apabila siap kelak, pengunjung akan dapat melihat lebih banyak bahan pameran berbanding pada masa ini. Apapun para pengunjung berpeluang melihat bahan-bahan pameran yang ada kaitan dengan angkasawan pertama negara iaitu Sheikh Muszaphar. Kami bertolak pulang dari Planetarium sekitar jam 4.30 petang dan sampai di madrasah seperti yang dijadualkan iaitu pada jam 5.30 petang. Secara keseluruhannya, program ini mencapai objektif yang disasarkan iaitu memberi pendedahan ilmiah kepada para pelajar dan pada masa yang sama memberi ruang kepada para pelajar berhibur dan bersantai secara beradab dan berakhlak selaras mengikut syariat Islam.




Pelajar berhimpun di perkarangan madrasah menantikan taklimat ringkas dari guru

Para pelajar berkumpul mengikut kumpulan masing-masing

Bas persiaran yang disewa

Kami sampai di destinasi pertama awal 20 minit dari yang dijadualkan. Alhamdulillah


Para pelajar berkumpul disatu kawasan teduhan bertentangan dengan muzium


Pintu utama muzium seawal jam 10 pagi

Para pelajar menunggu sesi taklimat dari pegawai muzium

Sesi taklimat sedang diberikan oleh pegawai muzium

Bilik aktiviti kanak-kanak yang disediakan oleh pihak muzium

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan didalam bilik ini samada secara berkumpulan atau individu

Ramai yang lebih suka bermain dengan permainan yang disediakan oleh pihak muzium

Kedai menjual buku dan cenderamata. Terletak bersebelahan dengan bilik aktiviti kanak-kanak

Ruang pancuran air yang kelihatan dari ruang legar sebelah kedai buku dan cenderamata

Laluan menuju ke ruang pameran khas, "Perjalanan Haji ke Makkah"

Satu senibina yang menarik

Pelajar mengambil kesempatan bergambar di luar muzium


Sesi bergambar di luar muzium

Menunaikan solat zohor di Masjid Negara

Pelajar perempuan bersama guru di Masjid Negara setelah selesai menunaikan solat zohor

Sampai di destinasi kedua iaitu Planetarium Negara sekitar jam 2.40 petang

Laluan menuju ke Planetarium Negara dari aras bawah (tempat parkir bas)

Replika didalam kapal angkasa

Para pelajar merasa sendiri suasana berada didalam kabin replika

Model kapal angkasa yang dipamerkan


Model kapal angkasa


Pelajar bergaya seperti angkasawan

Replika enjin kapal angkasa

Penerangan tentang enjin kapal angkasa tersebut

Para pelajar seronok bermain dengan replika bahagian pemandu kapal angkasa

Para pelajar KAFA dan tadika beria-ria mencuba suis-suis yang ada dibahagian pemandu kapal angkasa (replika)

Nabil (pelajar tahun 5) sedang bersiap-sedia memasuki simulasi kapal angkasa


Nabil ghairah ketika mula memasuki simulasi. Tahniah Nabil kerana berani mencuba!

Ucapan pengerusi sempena majlis penyampaian hadiah MAPTAM 2009

Assalamualaikum wbh, yang saya muliakan para guru, pengetua, ibubapa dan para pelajar yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta’ala, kita sekali lagi dapat mengadakan majlis ini yang merupakan acara tahunan bagi menghargai pencapaian cemerlang anak-anak kita. Pada tahun ini, kita mengadakan majlis ini di bangunan madrasah. Dengan segala kekurangan yang ada, terlebih dahulu saya memohon maaf. Kita tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi pada tahun ini, Insya-Allah jika kita mempunyai peruntukan yang banyak, berkemungkinan besar kita akan mengadakannya di Dewan Besar Taman Putra Perdana seperti yang pernah dilakukan pada satu masa dahulu. Apapun, yang paling penting ialah makna majlis ini dan pengisiannya bukannya pada kehebatan penganjuran majlis ini. Itulah sebabnya kita tetap juga mengadakan majlis ini kerana sebagai acara tahunan ia sangat bermakna baik kepada pelajar, ibubapa bahkan kepada para guru. Dengan adanya majlis ini, ia bukan setakat menghargai pencapaian cemerlang pelajar tetapi juga menjadi pendorong atau penggalak kepada para pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang. Kepada ibubapa, ingin saya tegaskan disini bahawa pendidikan agama adalah satu pendidikan yang sangat penting kepada anak-anak. Kita harus ingat bahawa pendidikan agama bukanlah pendidikan tempelan atau pendidikan kelas dua. Sewajarnya pendidikan ini diletakkan sebagai pendidikan no.1 manakala pendidikan akademik d sekolah harian itu adalah pendidikan no. 2 kerana ia mendidik para pelajar tentang ilmu-ilmu alat sahaja. Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para ibubapa yang masih mengambil berat tentang pendidikan agama dan menghantar anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu agama. Pendidikan agama adalah satu pendidikan yang berterusan. Kepada para pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini khususnya pelajar tahun enam, teruskanlah usaha untuk menuntut ilmu agama dan jangan biarkan ia terhenti begitu sahaja. Ibubapa perlulah mengikhtiarkan anak-anak dengan mendapatkan guru agama bagi memastikan anak-anak mendapat didikan agama yang secukupnya. Kita tidak mahu anak-anak menjadi tidak tentu arah atau menjadi liar akibat kurangnya didikan agama.
Hadirin yang dirahmati Allah, pencapaian kita pada tahun ini tidak berada pada tahap yang terbaik. Keputusan peperiksaan PSRA yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan pencapaian madrasah tidak berada pada kedudukan yang terbaik namun bagi saya, itu bukanlah kayu pengukur kejayaan yang sebenar. Apa yang penting ialah anak-anak mendapat sesuatu yang berharga setiap kali belajar di madrasah ini. Jika mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan maka ia adalah satu bonus. Satu masa dahulu, anak-anak ini mungkin tidak tahu untuk membaca doa tapi hari ini kita dapat lihat bagaimana anak-anak telah boleh menghafaz doa bahkan ada doa-doa tertentu yang diajar pula oleh anak-anak kita kepada kita. Inilah yang saya maksudkan tadi sebagai pengisian. Pengisian di sekolah adalah satu perkara yang sangat penting. Adalah penting untuk kita menerapkan ilmu adab dan akhlak kepada anak-anak selain akademik semata-mata.
Insya Allah pada tahun hadapan perancangan madrasah ialah hendak memperbanyakkan aktiviti pembacaan sirah dan salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Pendedahan sirah Nabi saw kepada anak-anak adalah satu perkara yang sangat penting. Hari ini kita dapat lihat anak-anak lebih menghafal nama-nama artis berbanding dengan nama ahli keluarga Nabi saw. Anak-anak juga lebih suka menghafal lagu-lagu yang didendangkan oleh penyanyi berbanding menghafal qasidah atau salawat yang memuji Nabi saw. Sedangkan kita tahu bahawa menyanyikan lagu-lagu yang tidak membawa manfaat hanya akan menyebabkan kita lalai dan mungkin akan menyebabkan dosa sebaliknya jika kita mengalunkan qasidah dan membaca salawat, kita akan mendapat pahala kerana didalamnya terkandung doa dan pujian-pujian kepada Allah Taala dan Rasul-Nya. Akhir sekali, sukalah saya menyarankan kepada anak-anak agar memanfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya. Jangan tinggal solat dan rajin-rajinlah membaca al-Quran. Jika berjumpa dengan orang yang lebih tua, bersalam dan ciumlah tangan mereka. Itulah adab yang sebaik-baiknya.

Majlis Penyampaian Hadiah Madrasah Pra-Tahfiz al-Mansoorah 2009


Kerja-kerja menghias pentas dilakukan pada petang Jumaat selepas habis kelas. Hadiah-hadiah pula dibalut bermula pada awal minggu tersebut. Kedua-dua aktiviti tersebut dilakukan bagi menyambut majlis penyampaian hadiah madrasah yang bakal berlangsung pada esok harinya iaitu Hari Sabtu. Tahun ini, pengurusan MAPTAM dan para-para guru sedia ada menyambutnya buat kali pertama selepas pihak pengurusan bertukar tangan pada penghujung tahun lepas. Majlis pada tahun ini diadakan secara sederhana. Majlis tersebut dilakukan didalam bangunan madrasah yang merupakan rumah semi-cluster yang tidaklah begitu besar ruang saiznya. Asalnya sambutan tersebut hendak diadakan dibawah bumbung luar bangunan madrasah kerana ruang disitu lebih luas tetapi memandangkan sekarang musim hujan maka diputuskan bahawa sambutan tersebut diadakan didalam rumah sahaja. Guru-guru membuat persiapan dengan penuh dedikasi. Selain membuat kerja-kerja yang disebut diatas, mereka juga telah melatih anak-anak murid mereka untuk membuat persembahan. Hari yang ditunggu akhirnya tiba. Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi. Ibubapa juga ramai yang hadir memenuhi perkarangan sekolah. Pengerusi majlis, Cikgu Zahidah memulakan majlis mengalu-alukan kedatangan para hadirin. Majlis seterusnya dibuka dengan bacaan ayat al-Quran beserta dengan terjemahannya sekali oleh dua orang pelajar madrasah. Ini disusuli dengan ucapan pengerusi. Memandangkan ibubapa ramai yang hadir, maka saya membuat sedikit perubahan pada teks ucapan dimana sebahagian besar isi kandunga merujuk kepada perancangan yang akan dilakukan pada tahun depan oleh pihak madrasah dan perlunya pendidikan agama yang berterusan kepada anak-anak. Majlis kemudiannya disambung dengan persembahan pelajar yang terdiri dari pelajar-pelajar tadika dan KAFA. Terhibur kami melihat telatah mereka yang berusaha membuat persembahan sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh walaupun ruang persembahan agak sempit. Acara seterusnya ialah acara yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar dan pastinya ibubapa mereka juga iaitu acara penyampaian hadiah. Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan akhir tahun akan diberikan hadiah. Tiga pelajar terbaik iaitu tempat pertama, kedua dan ketiga dari setiap darjah akan menerima hadiah. Majlis kemudiannya ditamatkan dengan cabutan bertuah. Hadiah-hadiah disampaikan secara berselang-seli oleh pengetua dan pengerusi madrasah. Selepas majlis selesai, jamuan ringan disediakan untuk para pelajar dan ibubapa. Majlis berakhir sekitar jam 11.00 pagi tepat seperti yang dijadualkan.


Majlis bermula sekitar jam 8.30 pagi

Para pelajar dan ibubapa telah memenuhi ruang dalam bangunan madrasah

Hadirin sedang menunggu pengerusi majlis memulakan acara

Majlis dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran beserta terjemahan

Pelajar tadika membuat persembahan yang sangat menghiburkan

Pelajar tahun 1 mendendangkan nasyid yang sangat menarik

Lagi persembahan dari pelajar tahun 1



Persembahan pelajar tahun 2 juga amat menarik

Pelajar tahun 2 berusaha memberikan persembahan terbaik dihadapan khalayak

Pelajar tahun 3 membuat persembahan lain dari yang lain iaitu dikir barat

Satu persembahan menarik dari pelajar tahun 3

Majlis bersurai sekitar jam 11 pagi. Sebelum berakhir, jamuan ringan disediakan untuk ibubapa dan pelajar

Wednesday, November 11, 2009

Majlis Penyampaian Hadiah dan Program Lawatan

Majlis Penyampaian Hadiah akan diadakan pada hari Sabtu, 14 November 2009 di bangunan MAPTAM. Majlis bermula pada pukul 8.00 pagi dan dijadualkan selesai pada pukul 12.30 tengah hari. Program lawatan ke Muzium Kesenian Islam dan Planetarium Negara akan diadakan pada hari Ahad, 15 November 2009. Program lawatan bermula dari jam 8.00 pagi dan dijadualkan selesai pada jam 5.30 petang


MAPTAM

Wednesday, November 4, 2009

Program intensif cuti sekolah

PROGRAM INTENSIF CUTI SEKOLAH 4M (MENGEJA, MEMBACA, MENULIS DAN MENGIRA)
KUMPULAN SASARAN: PELAJAR PRA-TADIKA USIA 5 DAN 6 TAHUN KHUSUSNYA YANG AKAN MEMASUKI TAHUN 1 PADA TAHUN 2010 DAN PELAJAR SEKOLAH RENDAH YANG MASIH BELUM MENGUASAI 4M DENGAN BAIK
OUTPUT: DIAKHIR PROGRAM, ADALAH MENJADI HARAPAN KAMI BAHAWA PARA PESERTA DAPAT MENGUASAI 4M DENGAN BAIK. INSYA ALLAH
PENGISIAN: AKTIVITI DALAM KELAS SECARA INTERAKTIF DAN DIBIMBING OLEH GURU BERPENGALAMAN. DI AKHIR PROGRAM PELAJAR AKAN MENDUDUKI UJIAN PENILAIAN PRESTASI. SETIAP PESERTA AKAN DIBERI SIJIL PENGHARGAAN
JANGKA MASA PROGRAM: BERMULA DARI 7 DISEMBER 2009 HINGGA 24 DISEMBER 2009
WAKTU: 8.30 – 11.30 AM (JIKA MEMILIH SESI PAGI) DAN 2.30 – 5.30 PM (JIKA MEMILIH SESI PETANG)
YURAN PROGRAM: RM 100 (BAYAR KETIKA MENDAFTAR)